Kestabilan Politik Paksi Kemakmuran Negara – Norliza Noh

KUALA LUMPUR, 17 Mac – UMNO harus mengambil kira pandangan akar umbi dalam memutuskan sebarang ketetapan yang melibatkan parti dan memastikan ianya dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Penyokong usul Ucapan Dasar Ketua Puteri, Exco Pergerakan Puteri UMNO Norliza Noh berkata kestabilan politik amatlah penting bagi sesebuah negara bagi menarik dan menjamin pelaburan luar negara.

Jelasnya, dengan adanya kestabilan maka pelaburan luar akan datang melabur di negara ini dan seterusnya banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

“Ekonomi Malaysia dapat berkembang dengan banyaknya peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Masalah pengangguran dan pekerjaan tidak setara dengan kelulusan dan pastinya masalah kemiskinan dapat diatasi.

“’Economic Chain Reaction’ ini pastinya tidak akan berlaku sekiranya negara ini masih lagi dibelenggu masalah ketidakstabilan politik di peringkat nasional yang masih tidak bernoktah.

“Kestabilan juga penting dalam merealisasikan sesuatu polisi atau keputusan yang kritikal demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama menjelaskan bahawa kestabilan yang dikecapi oleh Melaka dan Johor harus dikongsi bersama.

“Rakyat Melaka sudah memilih kestabilan, ‘Bangsa Johor’ juga telah memilih kestabilan, jadi apa salahnya berkongsi kestabilan ini di peringkat nasional dan dirasai oleh semua rakyat. Momentum yang baik perlu diteruskan.

“Saya percaya semua mahukan perubahan kepada yang lebih baik dan berharap dapat kembali kepada kehidupan asal dengan kadar yang segera bagi memastikan kestabilan yang hakiki,” ujarnya.

Tambahnya mandat perlu dikembalikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan tidak perlu ditangguhkan lagi serta diadakan segera seterusnya meletakkan kepentingan parti dihadapan.

“Kepentingan parti di hadapan adalah tunjang kekuatan UMNO selama ini. Agenda pengukuhan parti perlu diteruskan demi menghadapai peperangan yang hebat pada PRU 15,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.