UMNO Perlukan Visi Konkrit, Agenda Bersama Untuk Masa Depan Bersama

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, UMNO memerlukan ‘visi yang konkrit’ untuk Malaysia dan bukan sekadar manifesto.

Gesa Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, parti mesti merumuskan suatu visi yang benar-benar segar dan baharu, aspirasi yang menjangkau imaginasi pengundi Melayu dan bukan Melayu serta tawaran yang tidak boleh ditolak oleh sesiapapun.

“Satu aspirasi yang menjadi landasan kepada semua. Sesuatu yang saya gelar Agenda Bersama Untuk Masa Depan Bersama atau ‘A Common Agenda For A Common Future’.

“Visi sebegini harus mengungkap dan menzahirkan cita-cita kita untuk Malaysia yang lebih baik. Agar melaluinya, kita dapat mendorong kepercayaan rakyat Malaysia bagi memberikan peluang untuk kita kembali memerintah.

“Kita jelaskan di dalamnya bagaimana kita akan memulihkan ekonomi dan menguatkan kebolehsaingan negara. Bagaimana reformasi politik dan institusi akan kita lakukan. Bagaimana mengurangkan segala bentuk kesenjangan ekonomi dan sosial,” katanya dalam ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam ini.

Seterusnya kata Mohamad, ia juga berperanan merangsang kembali keterlihatan Malaysia di persada antarabangsa, membangun sistem federalisme baharu, menangani perubahan cuaca dan kelestarian masa depan serta memajukan bangsa dengan syiar Islam.

Begitu katanya ia tidak akan terhad kepada aspek ekonomi, politik dan reformasi institusi sahaja.

“Tetapi terangkum di dalamnya pendirian menolak kebejatan, pengutamaan nilai serta mengangkat kebijaksanaan sebagai pingat hidup paling berharga.

“Semua ini, mesti menjadi taruhan segar dan inovatif dari UMNO bagi tanah air yang majmuk dan sederhana. Bukan hanya tentang rebat sana rebat sini, bantuan sana bantuan sini. Apatah lagi menjadikan manifesto kita seperti hanya suatu pengumuman bajet layaknya,” katanya.

Jelas Mohamad, visi seumpama itu penting atas faktor kedinamikan rakyat negara ini.

“Kerana rakyat Malaysia bukan lagi pengundi dekad 80-an dan 90-an. Citra dan cita rasa mereka telah berubah. Bukan sekadar hanya pembangunan, tetapi kelestarian, kehidupan bermutu, kebebasan asasi dan kerajaan berintegriti.

“Tanpa naratif luar biasa tidak mungkin mereka akan terpukau. Apatah lagi membuang masa dengan mendabik dada tentang pencapaian lepas. Itu semua sejarah. Biarkan ia menjadi perkara lepas. Rakyat mahukan rencana masa depan yang lebih padu, realistik dan menarik perhatian,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.