UMNO Mesti Kembali Menjadi Wakil Politik Bangsa Melayu Diyakini

KUALA LUMPUR, 16 Mac – UMNO mesti kembali menjadi wakil politik bangsa Melayu yang benar-benar diyakini, dicari dan didambakan setiap masa.

Menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, UMNO mesti menjadi ketumbukan politik terkuat Melayu, bukan sekadar parti terbesar dan tiada guna sorakan lebih 3 juta ahli tetapi dengan hanya 17 peratus perwakilan di Parlimen.

“Oleh itu, UMNO mesti mempunyai strategi dan sasaran yang jelas. Pertama menjadi parti politik terkuat dan paling dominan di Malaysia. Hanya parti terkuat dapat menjadi teras kepada kerajaan yang stabil.

“Jika parti kuat dan dominan, kepentingan bangsa Melayu dapat UMNO perjuangkan dengan berkesan. Tanpa boleh dirungut-rungut, tanpa boleh diugut-ugut,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini malam ini.

Tambahnya juga, telah tiba masanya semua orang Melayu kembali ke pangkuan UMNO dan cukuplah bersaing dengan memudaratkan bangsa manakala yang telah tersasar kembali bersama UMNO.

“Mari kita bersatu dalam UMNO, jadikan ia satu-satunya wadah paling berpengaruh, paling kuat dan paling unggul untuk politik Melayu.

“Ambillah pengajaran dari kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor serta semua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelumnya.

“Bahawa UMNO itu adalah pilihan jelas orang Melayu. Parti Melayu lain walau dipimpin tokoh Melayu yang berpengaruh dan berjasa sekalipun, tidak akan dapat menggantikan UMNO. UMNO telah menjadi sebuah institusi Melayu, bukan sekadar sebuah parti politik,” ujarnya lagi.

Ulas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, parti juga mesti memenangi pilihan raya dengan majoriti yang besar untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Berhentilah…tak payahlah menagih segala nyawa dan dukungan dari parti seteru kita, demi hendak menguruskan kerajaan. UMNO tidak boleh bergantung harap kepada kasihan dan belas orang lain.

“Kita mesti berdiri sendiri. Kita mesti yakin dengan pelan kita untuk Malaysia,” katanya.

Begitu juga pada pandangannya, UMNO mesti menampilkan kepimpinan kerajaan yang mendapat mandat yang padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia dengan lebih berganda.

“Kepimpinan yang berprestasi dan berpengalaman. Yang boleh mengemudi Malaysia menjadi negara sederhana yang berpengaruh dan maju.

“Adalah sangat penting di mana dasar UMNO boleh diterjemahkan menjadi dasar kerajaan. Yang mana parti dan kerajaan akan seiring sejalan,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menasihati ahli Parlimen parti agar seiring dengan ketetapan dan keputusan kepimpinan parti.

Begitu juga katanya fokus untuk tahun 2022 ini bukan pemilihan dalam parti, bukan singkir-menyingkir dan bukan mengagihkan segala jawatan dan habuan sebaliknya adalah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) dan seterusnya menjadi kerajaan dan memimpin negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.