PAU Medan Bina Kesepakatan – Hariri

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 ini bakal membawa naratif berbeza pada suhu politik negara.

Katanya, ini kerana berdasarkan kesatuan yang dibina pada sekian lama beliau percaya bahawa himpunan kali ini membawa kesepakatan bagi memastikan pentadbiran negara sepenuhnya di bawah UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“PAU kali ini saya mengharapkan kita semua dapat mencapai kata sepakat bersama ahli UMNO ini yang kata kita perlu move on tadbir kembali kerajaan negara.

“Jadi penting untuk keputusan usul-usul di PAU ini akan memberi satu landskap politik baharu kepada UMNO khususnya dan juga rakyat utamanya,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, Noor Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas berkata PAU kali ini membawa suatu lembaran baharu kepada parti keramat ini apatah lagi selepas kemenangan berganda diperolehi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Kita boleh tengok daripada beberapa sudut bahawa kemenangan di Johor ini menunjukkan bahawa betapa rakyat mendambakan kekuasaan UMNO BN kembali untuk memerintah negara.

“Ini juga menandakan bahawa BN dan rakyat ini berpisah tiada bermaksud segala keluhan rakyat itu akan sentiasa mendapat perhatian.

“Kita juga boleh tengok undi orang muda pada PRN baru-baru ini yang mereka cenderung kepada BN kerana melihat kepada trek rekod parti itu sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.