PAU 2021: Berpegang Pada ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ Kekuatan UMNO – Othman

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berpandangan cogan kata ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang menjadi pegangan kepada ahli parti perlu dijadikan sandaran pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Malah katanya, persidangan kali ini juga amat dinantikan oleh ahli UMNO khususnya dalam mendengar amanat yang bakal disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sudah tentunya kita mengharapkan panduan daripada Presiden untuk hala tuju seterusnya mengambil kira kemenangan yang dilalui sebelum ini seperti di Melaka dan Johor pada Pilihan Raya Negeri.

“Namun apa pun saya melihat bahawa kita perlu terus teguh memegang cogan kata UMNO iaitu ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’.

“Saya melihat ahli-ahli UMNO perlu mengukuhkan lagi hubungan silaturahim untuk menjaga parti ini dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat malah yakin sekiranya kita memegang teguh dengan cogan kata parti maka kita akan selamat dan seterusnya dapat merampas kembali tampuk kerajaan pusat secara total di masa akan datang,” ujar beliau.

Othman yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun menambah meskipun berdepan pelbagai cabaran terutama kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) namun ianya tidak mematahkan semangat ahli parti demi membawa perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

“Sebagai ahli UMNO saya kira kita perlu mengambil iktibar tragedi pada 2018 yang merupakan zaman kegelapan kita selama 22 bulan.

“Kemudian seterusnya diberi sedikit ruang dan nafas untuk bersama dalam kerajaan 17 bulan dan kini alhamdulillah Allah menetapkan bahawa Perdana Menteri daripada UMNO.

“Maka melalui ruang inilah kita telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan malah mendapat kemenangan yang luar biasa di Melaka dan juga Johor luar jangkaan semua pihak,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.