PAU 2021 Akan Lebih Rancak, Sama-Samalah Muhasabah Untuk Masa Depan – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang akan bermula hari ini dengan perasmian serentak perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dilihat mempunyai makna yang cukup mendalam kepada seluruh ahli serta penyokong parti itu di seluruh negara.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berkata apatah lagi perhimpunan kali ini yang tidak diadakan secara hibrid sepertimana persidangan tahun lalu maka sudah pasti ia bakal menggamit para perwakilan dengan senario yang sama sebelum wabak COVID-19 melanda negara.

Bagi beliau tentunya kerancakan Perhimpunan Agung UMNO akan kembali seperti biasa walaupun terbatas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang digariskan oleh pihak berkenaan.

“Yakin dan percaya semangat PAU kali ini lebih rancak disebabkan kita dapat berhimpun lebih ramai selepas daripada COVID yang mula-mula melanda negara dan tentunya kedatangan lebih ramai perwakilan berbanding tahun sebelum ini ke WTCKL akan menampakkan kemeriahan dan kembali seperti dahulu.

“Apatah lagi dengan hasil kemenangan kita di beberapa PRN (Pilihan Raya Negeri) termasuklah di Melaka dan kemudiannya di Johor. Saya yakin hakikat itu akan lebih merancakkan lagi perhimpunan kali ini dan tentunya lebih bertenaga dan bersemangat selepas kemenangan dan kejayaan kita di kedua-dua negeri berkenaan, tapi ia adalah ruang untuk muhasabah depani masa depan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, kemenangan yang dicapai di Melaka dan terkini pada PRN Johor adalah satu tanggungjawab serta amanah untuk rakyat.

“Kemenangan itu bukanlah menjanjikan soal kita untuk rasa bangga apatah lagi berbesar diri tetapi kita melihat kemenangan itu sebagia salah satu amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat kepada kita bagi memastikan kestabilan dan juga kemakmuran dalam politik negara.

“Sebab itu saya harap semua perwakilan dapat melihat perkara ini dengan lebih objektif dan ini perlu dilihat secara menyeluruh. Yakin percayalah bahawa kemenangan ini bukanlah satu perkara yang kita banggakan sebaliknya untuk kita bekerja keras dan berkhidmat serta menabur bakti. Ini amanah dan tugas yang perlu kita laksanakan untuk rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.