Momentum, Aura Kemenangan PRN Beri Kekuatan Ahli – Perwakilan

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bermula hari ini menjadikan persidangan itu sebagai pentas menyampaikan suara akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan parti.

Ia akan dimulakan dengan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada jam 8 malam ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Bagi Ketua Puteri UMNO Kuala Langat, Asuuma Beevi Mohamad Sali merasa gembira melihat kemeriahan perwakilan yang mendaftar walaupun penjarakan fizikal harus diutamakan dan termaktub dalam standard operasi prosedur (SOP) kerajaan.

“Melihat kemeriahan pendaftaran perwakilan ini menjadi ‘excited’ walau macam mana pun perwakilan harus melakukan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka dan ikut SOP sepanjang perhimpunan ini.

“Saya yakin ini adalah kesan momentum kemenangan PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor yang dibawa aura kemenangan tersebut ke PWTC. Kepada perwakilan yang belum mendaftar… datang segera jangan tunggu di saat akhir dan rasakan sendiri bahang semangat ahli-ahli UMNO yang ada di PWTC hari ini.

“Selamat bersidang kepada semua sayap-sayap yang bersidang esok, jaga diri dan jaga keselamatan sesama kita,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Sementara itu bagi perwakilan Pemuda dari UMNO Bahagian Tawau, Irwan Paletee berkata PAU 2021 dijangka menjadi tumpuan selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi dua PRN berturut-turut sekali gus memberi momentum untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Semangat kemenangan serta kesyukuran akan mewarnai PAU ini dan merasa bangga pada PRN Melaka dan Johor baru-baru ini dengan kemenangan yang cukup besar dalam pencapaian UMNO seterusnya sudah pasti momentum kemenangan ini akan dibawa pada PRU akan datang.

“Saya berharap UMNO akan terus maju jaya untuk masa-masa hadapan walaupun berbagai-bagai onak dan duri yang ditempuhi UMNO namun UMNO tetap gagah di seluruh negara,” katanya lagi

Dalam pada itu Perwakilan Puteri dari Ketereh, Nor Saleha Hassan mengharapkan agar perhimpunan ini dapat mencarta kembalinya UMNO sebagai gergasi politik selepas dengan pencapaian yang tidak memuaskan pada PRU lalu.

“Sebagai perwakilan dari UMNO Bahagian Ketereh dengan harapan tinggi supaya PAU kali ini lebih ‘better’ sebelum ini dan kembalinya UMNO sebagai gergasi politik yang disegani dan ditakuti menjelang PRU-15 nanti.

“Sebenarnya UMNO sudah banyak melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun PRN dan kesemuanya berpihak pada UMNO. Semoga UMNO semakin bersatu padu, tidak ada berpecah belah, semakin teguh dan bertambah mantap,” ujarnya.

Untuk rekod, PAU 2021 sepatutnya diadakan pada 13 hingga 15 Januari lalu, namun ditunda kepada 16 hingga 19 Mac ini selepas banjir teruk yang melanda beberapa negeri.

Seramai 2,891 perwakilan dijangka hadir pada Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 yang diadakan serentak pada hari ini sehingga esok, manakala 2,680 perwakilan akan menghadiri PAU 2021 yang berlangsung pada 18 dan 19 Mac. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.