Semangat PRN Johor Dibawa Ke PAU 2021, Penyertaan Wanita Dalam Perbarisan Dirai

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Penyertaan Wanita UMNO Malaysia melalui Skuad Sayang dalam perbarisan sempena pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) memberi pengertian yang mendalam sebagai tulang belakang parti keramat ini, kata Naib Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Noor Aieni Mohd Ali.

Malah katanya, ia juga menambahkan gelora semangat perjuangan apabila Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh kemenangan luar biasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

“Semangat Johor membawa kami untuk mengadakan perbarisan malah semangat Wanita ini kental sampai bila-bila.

“… malah makin bersemangat apabila PRN Johor kita berjaya mengeluarkan pengundi putih untuk kita menang walaupun dugaan yang banyak tapi Wanita daripada seluruh Malaysia membantu PRN ini akhirnya membuahkan hasil yang baik,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, bagi Ketua Wanita Skuad Sayang, Datin Reny Rahayu Mohd Ishak beliau meluahkan rasa teruja apabila perbarisan dengan penyertaan daripada Wanita diadakan pada kali ini.

Malah katanya, kekuatan dan semangat yang ada bersempena PAU pada ketika ini sudah tentu membawa signifikannya yang tersendiri sebagai persediaan untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15).

“Mula-mula diberitahu tidak ada perbarisan tahun ini tapi apabila dimaklumkan ada kita seronok kerana rasa teruja.

“Kalau tidak ada apa… macam kurang sedikit tapi Alhamdulillah kerana perbarisan dapat diadakan pada tahun ini.

“Saya berasakan PAU kali ini adalah suatu perkara yang boleh membawa ahli parti lebih kepada PRU ke-15 kerana kita telah menang PRN Johor dan ianya memberi semangat kepada semua ahli parti dan kita sekarang ini berkobar tidak sabar hendak tunggu PRU ke-15,” ujar beliau.

Pendapat sama dilontarkan oleh wakil Wanita dari UMNO Bahagian Seputih, Massita Ayu Man yang dipilih menyertai perbarisan sempena pembukaan PAU kali ini.

Katanya, perasaan bercampur baur dirasakan pada ketika ini apatah lagi dengan kejayaan besar diperoleh parti di Johor.

“Alhamdulillah memang rasa bangga sebab sudah dua tahun tidak mengadakan acara seperti ini apatah lagi apabila kita baharu sahaja menang besar dekat Johor.

“Walaupun baru balik dari sana tapi penat itu tidak terasa disebabkan semangat kita pada kali ini, harapan saya pada PAU kali ini menyurakan hasrat hati akar umbi kepada kepimpinan parti,” katanya.

PAU kali ini mengembalikan kemeriahan sambutannya apabila menyaksikan perbarisan oleh Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia dan Skuad Sabil dari Pergerakan Pemuda UMNO serta iringan kompang.

Terdahulu pada pagi tadi berlangsungnya raptai dengan upacara menaikkan bendera dilakukan dengan kendalian dibuat oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Raptai ini adalah antara persediaan terakhir sebelum PAU 2021 yang dijadualkan pada 16 sehingga dan 19 Mac ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.