Raptai PAU 2021 Patuhi SOP, Kemeriahan Kompang, Perbarisan Warnai Semangat Parti

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Raptai penuh perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang berlangsung pagi ini sekali lagi melakar sejarah apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Seperti tahun sebelumnya PAU kali ini mengembalikan kemeriahan sambutannya apabila menyaksikan perbarisan oleh Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia dan Skuad Sabil dari Pergerakan Pemuda UMNO serta iringan kompang untuk menyambut kedatangan Presiden.

Raptai bermula seawal 7.30 pagi dengan kendalian dibuat oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan melalui upacara menaikkan bendera sayap-sayap UMNO disusuli nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Selain raptai di Plaza Merdeka, raptai dalam dewan juga akan diadakan pada jam 3 petang membabitkan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO dan perasmian perhimpunan agung di Dewan Merdeka.

Raptai ini adalah antara persediaan terakhir sebelum PAU 2021 yang dijadualkan pada 16 sehingga dan 19 Mac ini.

PAU 2021 sebelum ini dijadualkan pada 13 hingga 15 Januari bagaimanapun ditangguhkan ekoran banjir yang melanda beberapa negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.