Raptai Dalam Dewan Merdeka Lancar, Pematuhan SOP Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Raptai penuh bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berjalan lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bermula jam 3.00 petang, raptai berlangsung lancar di bawah pemantauan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan sanitasi dan mengimbas MySejahtera antara yang akan menjadi keutamaan.

Selain itu, penjarakan tempat duduk perwakilan dengan hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam dewan diaplikasi sepenuhnya.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, diikuti persidangan penuh ketiga-tiga sayap pada esoknya.

Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada Jumaat (18 Mac), diikuti ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka.

Terdahulu, 25 Dis tahun lepas, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Jan lepas terpaksa ditangguhkan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri dalam negara pada penghujung Disember lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit