PAU 2021: Isu COVID-19, Ekonomi Rakyat, Pendidikan Antara Tumpuan

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Isu menangani COVID-19, ekonomi rakyat, pendidikan, hubungan antara kaum serta pendidikan antara yang akan dibincangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad bagaimanapun berkata beliau tidak menolak kemungkinan isu mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan turut disentuh perwakilan.

“Mereka (jurucakap) bebas bercakap asalkan tidak sentuh perkara sensitif,” katanya dalam sidang media mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

DS AHMAD MASLAN

Perhimpunan itu yang akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini secara bersemuka, akan dihadiri seramai 5,571 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata semangat kemenangan serta kesyukuran memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka selain kejayaan diraih rakan akrab Barisan Nasional (BN) di Sarawak akan turut dibawa perwakilan pada perhimpunan itu.

“Siri kemenangan BN dan rakan BN beri nafas baharu kepada UMNO dan perwakilan. Ia akan mewarnai perhimpunan kali ini, UMNO dan BN bangkit untuk meneruskan perjuangan menerajui negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata perhimpunan berkenaan yang menarik perhatian lebih 500 pengamal media termasuk 15 agensi berita asing, turut menjemput komponen BN, Friends of BN, Pesuruhjaya Tinggi dan Duta asing bagi mengikutinya.

Katanya, turut memeriahkan Perhimpunan Agung UMNO itu nanti ialah program pameran oleh 20 agensi kerajaan.

Ahmad berkata bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 di Dewan Merdeka, dewan utama yang digunakan bagi perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri serta perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021, akan digunakan separuh kapasiti dengan mengambil kira penjarakan fizikal manakala perwakilan yang positif atau mempunyai gejala, tidak dibenarkan hadir.

“Kalau di Parlimen, kit ujian pantas COVID-19 (RTK) antigen dibuat dua hari sekali dan untuk perhimpunan ini saya harap kami buat dua kali sepanjang PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan itu pun memadai,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, diikuti persidangan penuh ketiga-tiga sayap pada esoknya.

Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada Jumaat (18 Mac), diikuti ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka.

Pada 25 Dis tahun lepas, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Jan lepas terpaksa ditangguhkan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri dalam negara pada penghujung Disember lalu. โ€“ BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.