PAU 2021 Bawa Aura Berbeza Selepas Kemenangan Besar PRN – Sumali


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berpandangan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) kali ini membawa aura yang berbeza selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Katanya, semestinya perwakilan dan ahli UMNO juga akan ternanti amanat disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta perbahasan oleh jurucakap Wanita serta sayap Pemuda dan Puteri bagi mendepani masa depan yang lebih baik buat parti.

“Penganjuran kali ini istimewanya adalah selepas kita menang besar dalam PRN Johor sudah pasti semangat semua perwakilan datang ke sini berkobar-kobar.

“Mungkin ada amanat atau suatu perkara baharu dan kita juga mahu dengar juga jurucakap daripada sayap dan PAU akan ada sesuatu yang menarik dan lebih baik untuk parti,” katanya ketika ditemui UMNO Online selepas raptai penuh PAU 2021 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang berlangsung pagi ini.

Sementara itu bercakap berkenaan penganjuran, beliau berkata persiapan keseluruhan PAU 2021 ini sudah lengkap 90 peratus perjalanan.

Tambah Sumali, perbarisan pada kali ini diadakan seperti tahun lalu dengan penglibatan Skuad Sabil, Skuad Sayang dan juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco-exco Wanita serta Pemuda dan Puteri.

“Alhamdulillah pada pagi ini kita selesai mengadakan raptai perbarisan dan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, ianya akan dilangsungkan pada Jumaat pagi bermula jam 8 pagi di Dataran ini seterusnya adalah ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka dan perbahasan selama dua hari.

“PAU akan diadakan di Dewan Merdeka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan kita kenalpasti untuk tempatkan beberapa perwakilan supaya semoga mereka dapat berada di dalam dewan.

“Kita juga menyediakan booth iaitu korporat yang akan kita letak di tingkat dua di depan CIMB… insya-Allah kita doakan supaya perjalanan PAU 2021 ini akan berjalan dengan lancar, aman dan harmoni,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.