3,200 Lot Tanah Untuk Generasi Kedua Felda Di Johor – PM

KOTA TINGGI, 9 Mac – Sebanyak 3,200 lot tanah disediakan untuk generasi kedua Felda di Johor bagi menyelesaikan sebahagian isu perumahan yang dihadapi mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi tujuan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secara bersama akan memberi peruntukan sebanyak RM60 juta untuk membangunkan infrastruktur di kawasan tersebut.

“Ini adalah konsep baharu yang diperkenalkan, kita tak jual lagi rumah siap tetapi lot tanah kepada generasi kedua untuk mereka membina rumah sendiri dengan kerajaan negeri menyediakan tanah dan kita akan turut membangunkan dari segi infrastruktur.

“Kerajaan bersetuju untuk projek ini dengan kos infrastrukturnya RM60 juta akan ditanggung secara bersama iaitu RM30 juta Kerajaan Persekutuan bersama Felda dan RM30 juta oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Geran Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan menyediakan lot tanah berkenaan, ia dapat menyelesaikan sebahagian daripada isu perumahan yang dihadapi generasi kedua Felda sekali gus melancarkan perancangan pembangunan di kawasan Felda.

Ismail Sabri berkata bagi menyelesaikan isu air di kawasan Felda di Kota Tinggi dan sekitarnya, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM41 juta bagi menaik taraf Loji Rawatan Air Gembut yang akan terus menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Lok Heng.

Katanya projek yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu kini dalam peringkat menunggu pelantikan konsultan bagi memulakan projek berkenaan.

“Begitu juga dengan talian telefon khususnya internet di kawasan ini, kerajaan telah berbincang dengan pihak telekomunikasi dan kita bersetuju untuk membina sebuah pencawang telefon selular, selain pembinaan santuari gajah bagi fasa kedua yang dijangka siap pada 2025 bagi mengatasi masalah gajah berkeliaran dan merosakkan tanaman peneroka,” katanya.

Menurut beliau, Felda bersetuju untuk memberi RM10 juta untuk Tabung Usahawan Belia memandangkan ramai peneroka telah beralih ke arah keusahawan, selain melantik wakil belia sebagai antara Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak menjadikan isu Felda sebagai bahan berkempen dan sebagai cubaan merosakkan fikiran peneroka dan generasi kedua.

“Isu Felda sengaja dijadikan bahan (kempen) kerana di Kota Tinggi ini 80 peratus adalah pengundi Felda dan Johor adalah negeri kedua terbesar Felda selepas Pahang. Jadi Felda ini pengundi Melayu dan pengundi Melayu biasanya sangat setia kepada kerajaan Barisan Nasional.

“Sebab itu Felda ini ‘fixed deposit’ kepada UMNO selama ini dan itu dia (parti politik) tumpu kepada Felda kerana cuba merosakkan fikiran peneroka dan generasi kedua Felda dengan memainkan isu yang saya anggap tak betul,” katanya sambil menambah isu berkaitan Felda bukan hanya diselesaikan menjelang PRN Johor, sebaliknya secara berterusan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata perincian mengenai pembukaan sempadan akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi memastikan ia berjalan lancar dan menyelesaikan perkara berbangkit.

Katanya setakat ini tiada isu berkaitan pembukaan sempadan menerusi udara dan laut kerana ia tidak membabitkan kuarantin, sebaliknya hanya perlu menjalani ujian saringan di lapangan terbang (bagi udara) dalam tempoh 24 jam, namun ujian saringan tersebut sukar dilaksanakan menerusi laluan darat terutama di Johor yang membabitkan jumlah yang ramai berulang alik ke Singapura.

“Kita mempunyai dua kategori iaitu pelancong dan satu lagi harian seperti jumlah yang ramai berulang-alik ke Singapura. Kalau kita buat RTK di pintu masuk, boleh bayangkan beratur panjang, sesak. Jadi tidak boleh buat syarat selepas berlepas kena buat ujian PCR tiga hari kerana mereka biasanya berulang-alik setiap hari.

“Jadi sebab itu kita putuskan 1 April pembukaan sempadan supaya isu seperti ini dapat diselesaikan. Kalau kita buat serta-merta kelam kabut, isu tak selesai. Jadi KJ (Khairy) akan buat pengumuman penting nanti. Tunggu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.