Muar Antara Kawasan Tumpuan Dibangunkan Beri Limpahan Ekonomi – Helmi
MUAR, 8 Mac – Pemilihan Muar antara salah satu kawasan yang akan diberi tumpuan sepertimana yang terkandung dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) diyakini bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ketua Pemuda UMNO Muar, Mohd Helmi Abdul Latif berkata komitmen sepertimana yang dinyatakan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mahu menjadikan daerah Muar yang terletak di utara negeri ini sebagai hab minyak dan gas, termasuk maharani gateway amat bertepatan bagi kawasan tersebut.
“Tumpuan sekiranya diberi mandat nanti termasuk kawasan pesisiran pantai di kawasan Maharahi yang dinamakan Maharani gateway sudah pasti banyak peluang-peluang pekerjaan yang akan dibuka dan juga hasrat kami di sini agar anak muda tidak pelu keluar ke daerah lain kerana peluang pekerjaan itu ada di sini.
“Insya-Allah ekonomi penduduk setempat dan juga industri kecil akan serta pelbagai lapisan lain akan menerima tempias nanti. Percayalah jika BN diberi kepercayaan perkara ini dapat direalisisaikan dan rakyat Muar cukup bangga,” katanya kepada UMNO Online.
Kerajaan Johor mahu menjadikan daerah Muar yang terletak di utara negeri ini sebagai hab minyak dan gas, dengan penglibatan kalangan pelabur swasta.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata pembangunan itu akan melibatkan kawasan seluas 920 hektar dan ia merupakan pencetus perubahan buat daerah itu.
Helmi seterusnya menambah tumpuan kepada orang muda sepertimana yang disebutkan di dalam Ikhtiar BN Johor amat membanggakan dan ini memperlihatkan parti berkenaan melihat golongan masyarakat secara menyeluruh.
Kata beliau lagi tumpuan dalam aspek perniagaan juga amat dialu-alukan kerana ianya cukup penting dan ini melambangkan tumpuan BN terhadap orang muda itu sendiri.
“Paling utama BN tidak pernah meninggalkan aspirasi anak muda ini dan di mana-mana sahaja BN membawa aspirasi anak muda kerana anak-anak muda adalah pemangkin serta pelapis kepada pemimpin akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau cukup yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang akan kekal kepada BN selain mencapai kemenangan di DUN Maharani.
“DUN Maharani dan Sungai Balang…kami yakin dan optimis kekal di Sungai Balang dan merampas kembali DUN Maharani kerana perkembangan semasa memperlihatkan suasana yang amat positif.
“Setelah kami berjalan dan berkempen kami nampak sokongan terhadap BN meningkat dan kami yakin dengan gerak kerja yang tersusun serta strategi yang betul serta kekuatan calon sendiri akan memberi kemenangan kepada BN 12 Mac nanti,” tambahnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas