Gagasan Keluarga Malaysia Perkukuh Integrasi Nasional – MB Johor

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Gagasan Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar disambut baik seluruh rakyat, khususnya di Johor kerana mengetengahkan tiga teras utama bagi membawa kemakmuran dan memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad berkata teras utama Keluarga Malaysia meliputi aspek keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, memang relevan dalam mencitrakan pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Katanya dalam suasana Johor dan Malaysia didiami kepelbagaian kaum, bangsa, budaya, bahasa dan agama, ia boleh menjadi satu cabaran dan keunikan kepada Malaysia, menyebabkan terdapat kepentingan untuk mendukung gagasan terbabit.

“Secara umumnya, saya berpendapat mesej keseluruhan ‘Keluarga Malaysia’ adalah supaya kita semua dapat menerima persamaan dan perbezaan berdasarkan nilal-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan Rukun Negara.

“Sehubungan itu, saya berpendapat keupayaan Johor membangunkan gagasan Muafakat Bangsa Johor mampu diaplikasi dalam kerangka dan gagasan ‘Keluarga Malaysia’ kerana kesemua inisiatif Kerajaan Malaysia perlu bersifat holistik dan inklusif merentas sempadan agama, bangsa dan kaum serta wilayah,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di sini hari ini.

Hasni berkata penganjuran jelajah itu yang menjadikan Johor sebagai lokasi pertama, penting terutama dalam kalangan anak muda kerana mereka akan menjadi harapan bagi menyambung legasi pembangunan sebuah negara.

“Sehubungan itu, saya mengajak orang muda Johor supaya melibatkan diri dalam pelbagai program untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negeri.

“Kita boleh sahaja gunakan pelbagai ‘gadget’ (alat), asalkan tidak meminggirkan matlamat utama kehidupan untuk menyumbang sesuatu untuk kebaikan masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Hasni menjelaskan kerajaan negeri menekankan pelbagai perkara dalam pembangunan yang seimbang, antaranya memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pelbagai program.

Selain itu, kerajaan negeri juga mahu memastikan sistem pendidikan moden dan pendidikan agama dijayakan sebaiknya serta memastikan rakyat mengamalkan kebebasan beragama dengan aman dan harmoni.- BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.