Enakmen Anti Lompat Parti: PN Kelab Nasional Katak Politik Sentap, PH Tanpa Malu Cedok Idea

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan manifesto BN progesif dan semasa diumumkan lima Ikhtiar Utama pada Selasa lalu BN memfokuskan kepada kestabilan politik.

Kata Presiden UMNO itu, Enakmen Anti Lompat Parti adalah iltizam bagi memastikan kestabilan politik malah BN turut menawarkan dasar yang mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perikatan Nasional (PN) selaku kelab nasional katak-katak politik sudah dijangka tersentap dengan tawaran begini.

“Mereka tidak akan sesekali menawarkan perkara sebegitu. Mana tidaknya, sudah pastilah undang-undang yang menghalang amalan lompat parti akan memusnahkan masa depan PN, khususnya Bersatu yang tertubuh atas dasar meraikan amalan melompat parti.

“Tanpa lompat parti, parti Bersatu akan runtuh. Lebih ramai jaguh lompat parti bimbang akan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Bagi mereka pula Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang amat mengerikan kerana nasib si pelompat parti akan dihukum oleh rakyat,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ulas Ahmad Zahid lagi, Pakatan Harapan (PH) pula pada semalam, Jumaat menawarkan perkara yang serupa dengan BN, iaitu untuk menggubal enakmen anti lompat parti.

“Sebelum ini mereka lantang menuduh kita dengan bermacam-macam gelaran dan fitnah. Hari ini, tanpa rasa malu, mereka cedok segala usaha dan iltizam kita.

“Nampak benar yang mereka sudah ketandusan idea. Dan sangat jelas bahawa dasar BN adalah sesuatu yang menepati keperluan Johor dan rakyatnya,” katanya.

Justeru Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata biarlah rakyat yang menilai dan menghukum mereka pada 12 Mac nanti.

“Yang pasti, BN akan terus berikhtiar membawa Kestabilan Masa Depan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.