Macam Mana Nak Percaya Ikrar Berintegriti Jika PN Ditubuhkan Oleh Mereka Yang Lompat… Lompat… Lompat

JOHOR BAHRU, 4 Mac – “Tetapi macam nak kita hendak percaya sedangkan PN itu ditubuhkan sendiri oleh mereka yang lompat…lompat…lompat.”

Demikan respon Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan mengenai manifesto atau Ikrar Perikatan Nasional (PN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Shahril di dalam video ringkasnya di Facebook berpandangannya, sesuatu tawaran itu dianggap bagus apabila ianya mesti ada kredibiliti, diperincikan secara spesifik dan bukan hanya umum serta masuk akal.

“Saya akan terangkan kenapa tiga elemen ini takde sangat dalam Ikrar PN. Pertama soal kredibiliti, orang kena percaya apa yang kita janjikan contohnya dijanjikan pentadbiran yang ada integriti…memang kita sokong. Tetapi macam nak kita hendak percaya sedangkan PN itu ditubuhkan sendiri oleh mereka yang lompat…lompat…lompat.

“Selain itu untuk ada kredibiliti melaksanakan janji kita mesti ada kestabilan politik tetapi langsung tiada sebarang tawaran perkara paling asas pada saat ini…kestabilan, tidak ada dalam Ikrar PN.

“Satu lagi nak janji penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) 30 peratus, tapi calon wanita (PN) sendiri 10.7 peratus. Mana kredibiliti?” soalnya.

Ciri-ciri kedua kata Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu adalah berhubung perincian.

“Butiran tidak boleh hanya ‘soundbite’ general sangat. Dalam ikrar PN ini misalnya disebut hendak merancakkan penglibatan usahawan mikro kecil dan sederhana…bagus, tapi macamana? Tidak disebut.

“Sebut peluang pekerjaan berkualiti, macam mana? Tidak disebut. Memperkasa masa depan ekonomi Johor menyediakan pelan sedekad ekonomi Johor 2022 sampai 2032 tapi tiada detailnya mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Manakala ciri ketiga tambahnya adalah tawaran mesti masuk akal.

“Ada beberapa yang tak masuk akal dalam Ikrar PN ini. Pertama nak menjadikan wilayah utara Johor sebahagian daripada Koridor Ekonomi Pantai Timur. Ini kurang masuk akal sebab kawasan utara macam Pagoh, Muar bukan belah timur.

“Keduanya zaman Datuk Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) 2018 tempoh hari pun sudahpun diletakkan Segamat dan Mersing dalam koridor ekonomi ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) ini,” ujarnya.

Begitu juga katanya berkaitan kuota khas kemasukan anak Johor ke institusi pengajian awam (IPTA) di negeri Johor.

“Tapi tempat dalam IPTA ni memang semua maklum bawah Kerajaan Persekutuan, bawah Kementerian Pengajian Tinggi, kerajaan negeri tidak boleh paksa buat kuota. Sekali lagi tidak masuk akal,” bidasnya.

Walaupun begitu katanya, di dalam Ikrar PN terdapat juga tawaran yang masuk akal dan agak bagus tetapi inisiatif tersebut sudah disediakan kerajaan negeri sekarang di bawah Barisan Nasional (BN).

“Misalnya nak mewujudkan hab pengeluaran makanan negara. Memang dah ada pun, program peningkatan kemahiran dan latihan semula, saya pun tak pasti apa perinciannya tapi baguslah.

“Kerajaan negeri bawah BN pun dah buat lama dah. Dewan Undangan Negeri (DUN) belia ini confirm orang muda tahu dalam Johor dah ada pun Dewan Muda Johor DUN belia.

“Ada juga yang baik seperti bantuan J-Kids sebanyak RM150 kepada setiap anak kelahiran Johor daripada keluarga berpendapatan rendah. Dalam BN kita buat perkara yang sama RM150,” katanya.

Sehubungan itu, setelah diselidiki dan membuat perbezaan, beliau yakin rakyat pada 12 Mac nanti akan memilih BN di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad. – UMNO ONLINE