Ambil Peluang Undi BN, Realisasikan Tawaran BN Johor Di Bukit Kepong – Ismail
PAGOH, 4 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong Ismail Mohamed mengajak rakyat khususnya pengundi di kawasan berkenaan agar mengambil peluang untuk sama-sama menjadikan Ikhtiar BN Johor sebagai sesuatu yang realiti.
Menurut beliau dengan mengundi BN, apa yang terkandung di dalam tawaran berkenaan sudah pasti mampu dilaksanakan kerana parti berkenaan sama sekali tidak menawarkan apa yang tidak mampu dilaksanakan sepertimana janji-janji pihak lawan seperti Pakatan Harapan (PH) semasa pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
“Untuk DUN Bukit Kepong ini…tawaran yang ada menerusi ikhtiar BN Johor cukup baik. Jika tolak BN rugilah sebab menerusi ikhtiar BN Johor ada tumpuan orang Felda sebagai contoh dan kebetulan ada empat Felda di kawasan saya dan ada tiga Felda yang memang mereka dah ada tapak untuk generasi kedua dan mereka boleh mendapat manfaat.
“Begitu juga di kampung-kampung yang kita dah kenalpasti tapak-tapak dan lot untuk perumahan. Kalau mengundi BN tentunya berdasarkan pengalaman saya menguruskan isu-isu rumah seperti yang disebutkan tadi, saya boleh rebut peluang berkenaan dan boleh membantu masyarakat.
“Jadi saya harap masyarakat di DUN Bukit kepong ini kena ambil ambil peluanglah…begitu juga orang muda…ada program untuk orang muda, untuk usahawan, wanita dan pada saya lima teras ikhtiar BN Johor patutnya pengundi melihat secara positif yang mana BN tidak pernah tipu berbanding dengan yang lain. BN kalau kita janji mahu buat sesuatu kita akan usahakan dan rakyat insya-Allah akan dapat manfaat daripada apa yang kita usahakan ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Pagoh seterusnya menambah antara tumpuan beliau di kawasan Bukit Kepong adalah soal yang melibatkan perumahan dan kebajikan masyarakat setempat terutama apa yang dirancang sebelum ini.
“Pertamanya mahu selesaikan isu perancangan yang pernah saya lakukan sewaktu saya jadi wakil rakyat pada masa dahulu. Saya buat kajian di DUN ini dan banyak dapatan yang kita lihat antaranya yang pertama saya lihat rumah. Masyarakat di sini perlukan rumah.
“Antara projek perumahan transit yang dah buat tetapi terbengkalai dan itu untuk orang miskin dalam kawasan DUN Bukit Kepong. Jadi terbengkalai saya kena teruskan.
“Selepas itu di Lenga ada rumah mampu milik yang dah siap tapaknya tetapi tidak dilaksanakan oleh kerajaan PH dan kita akan bantu orang di kawasan Lenga,” katanya.
Begitu juga katanya isu perumahan di kawasan Hab Pendidikan Pagoh.
“Kawasan Hab Pendidikan Pagoh sepatutnya dibina 4,000 unit rumah tetapi masa zaman kerajaan PH, termasuklah calon yang ada zaman PN (Perikatan Nasional) juga sebagai Exco kerajaan negeri pada masa itu telah terlibat sama tidak membina rumah mampu milik 4,000 unit itu dan dimasukkan dalam tabung perumahan.
“Malangnya duit RM38 juta itu tidak dimanfaatkan dan tidak diagihkan untuk kawasan Pagoh. Itu satu isu yang sangat besar pada saya dan orang Pagoh jangan memandang perkara itu kecil.
“4,000 unit rumah bukanah nilai yang kecil yang mana mampu memberi manfaat kepada keseluruhan masyarakat di Parlimen Pagoh. Jadi saya kena ambil peluang daripada tabung itu dan kita agih di serata tempat di Parlimen Pagoh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menambah soal generasi kedua juga menjadi perhatian.
“Generasi kedua yang sepatutnya dah selesai isu tanah di Fecra Maokil. Bawah saya kita dah usahakan tapak dan kenalpasti pemohon tetapi apabila kita tidak memerintah sampai ke hari ini permohonan itu tidak diteruskan.
“Di Felda Maokil rumah dah nak siap sebab sedikit teknikal hingga ke hari ini terbengkalai. Sebenarnya apabila saya bercerita isu rumah ianya berkaitan isu ekonomi dan ada rumah kedai yang memberikan peluang sekeliling berniaga dan menambahkan pendapatan,” katanya.
Seterusnya ulas beliau lagi, berhubung isu pendidikan untuk anak-anak di kawasan Pagoh khususnya di DUN Bukit Kepong.
“Dalam masa yang sama juga saya ingin meneruskan usaha membantu anak-anak yang mahu menyambung belajar, orang susah dan sebagainya. Kita dah ada program dahulu di bawah Yayasan Pagoh Perdana tetapi malangnya apabila kita kalah dan kita masih lagi bantu di bawah yayasan cumanya tidak mendapat sebesar yang macam dululah.
“Jadi saya ingat apabila kita jadi kerajaan, ini saya ingin teruskan bantu rakyat khususnya di Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong ini,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas