PN Dan Air Percumanya, Semuanya Bermula Dengan Kesilapan Muhyiddin

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Mungkin kerana rasa bersalah kepada rakyat Johor, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menawarkan air percuma seperti yang diumumkan kerana semua masalah air Johor bermula semasa era beliau menjadi Menteri Besar.

Demikian respon Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai manifesto PN yang mahu memberikan air percuma kepada golongan B40 jika mereka membentuk Kerajaan Negeri Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Tegas Khaled, yang perlu diselesaikan bukan pembekalan air percuma kepada golongan terkesan kerana ia telah lama dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) tetapi kenapa Johor menjadi negeri dengan tarif air paling tinggi di Malaysia.

“Ini adalah masalah yang telah berlarutan sekian lama, dampak penswastaan sistem bekalan air Johor secara berperingkat bermula 1992.

“Semua ini akhirnya menyebabkan satu perjanjian konsesi pengedaran bekalan air dimeterai dengan Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) pada 1999 untuk selama 30 tahun.

“Menteri Besar Johor pada 1992 adalah Presiden PPBM dan Pengerusi PN sekarang. Mungkin beliau wajar tampil menjelaskan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook sambil melampirkan graf perbezaan tarif air bagi setiap negeri.

Tambah Khaled, pemberian air percuma telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan BN dan jelas PN seperti tidak ada modal lain untuk ditawarkan kepada rakyat.

“Melalui Belanjawan Johor 2021, Kerajaan Negeri Johor telah pun melaksanakan Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan B40 Negeri Johor.

“Malah semasa saya menjadi Menteri Besar pada 2013, Kerajaan Johor telah menaikkan pemberian rebat air daripada 20 meter padu kepada 35 meter padu dalam usaha meringankan beban golongan miskin dan miskin tegarnya,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.