Pembangunan Ekonomi Johor Terencat Disebabkan Pertukaran Kerajaan Selepas PRU-14

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengakibatkan berlakunya kerencatan terhadap pembangunan ekonomi Johor, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata banyak pelabur antarabangsa menangguhkan hasrat untuk melabur di negara ini termasuk Johor susulan keadaan politik yang tidak menentu dalam tempoh beberapa tahun ini, selain dilanda pandemik COVID-19.

“Pembangunan ekonomi sudah ada tetapi terencat sekejap kerana pertukaran kerajaan. Semua orang tarik ‘brek tangan’. Tiada siapa akan melabur di negara yang keadaannya tidak menentu.

“Saya ambil contoh yang baik iaitu (Saudi) Aramco dalam perancangannya nak melabur melebihi AS$20 bilion tetapi tarik ‘brek tangan’, dia tunggu dan lihat sebab tidak selesa meneruskan atau menambah pelaburan di Johor dengan kerajaan sebegini,” katanya semasa menjadi tetamu pada program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata malah beberapa kontrak yang ditandatangani bersama pelabur asing ketika pemerintahan parti gabungan itu dibatalkan begitu sahaja selepas BN kalah pada PRU14.

“Seperti HSR (kereta api berkelajuan tinggi), ECRL Laluan Rel Pantai Timur…bahkan, kita (BN) dah setuju (projek) Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) (bernilai) RM500 juta tetapi dibatalkan tanpa berunding,” katanya.

Beliau turut menegaskan disebabkan hal berkenaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan supaya negeri ini ditadbir oleh kerajaan yang lebih stabil sekali gus dapat memfokuskan memakmurkan semula ekonomi Johor.

Justeru, Mohamad berharap rakyat memberi peluang kepada gabungan itu untuk mentadbir semula Johor dengan mandat yang selesa pada pilihan raya berkenaan.

“Kami (BN) ada trek rekod…Kami telah buktikan selama lebih 60 tahun mentadbir negara dengan baik serta membangunkan Johor. Negeri ini adalah pintu masuk kepada pembangunan negara. Jika Johor banyak terima pelaburan asing maka banyaklah Malaysia terima pelaburan asing.

“Begitulah pentingnya Johor ini dalam negara kita. Jadi, orang Johor mesti berhati-hati supaya memilih kerajaan yang boleh memulihkan semula imej dan maruah negeri ini,” katanya.

BN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan dengan 37 calon daripada UMNO, MCA (15) dan MIC (empat) bagi PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.