Johor Perlukan Sebuah Kerajaan Yang Stabil Untuk Kesejahteraan Rakyat

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata negeri Johor memerlukan sebuah kerajaan yang politiknya stabil dengan mandat majoriti daripada rakyat kerana ia intipati kepada segala-galanya.

Tegas Timbalan Presiden UMNO itu, kerajaan dan politik yang stabil akan meninggalkan berbagai kesan sampingan yang positif kepada negeri itu dan kerana itu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

Dalam masa yang sama Mohamad turut menyanggah kenyataan yang mengatakan UMNO dan BN tamak kuasa kerana jika tamak, DUN Johor tidak akan dibubarkan.

“Orang kata kita tamak kuasa, kalau tamak kuasa kita tak bubar. Menteri Besar turun takhta untuk jumpa rakyat bagi balik mandat kepada rakyat. Kalau kita tamak kuasa ada empat ratus lebih hari lagi untuk mencukupkan penggal sampai Mei 2023.

“Tetapi bukan kuasa menjadi keutamaan kita… kestabilan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kita,” katanya Pengarah Pilihan Raya BN Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Mohamad berkata demikian di dalam segmen Wawancara PRN Johor yang membicarakan topik ‘Membina kemakmuran rakyat Johor’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online di studio mini, di sini malam tadi.

Tambahan pula katanya, di dalam DUN Johor tidak terdapat satu parti tunggal yang menjadi majoriti dalam pembentukan kerajaan (hung parliament) dan ia ternyata sukar di dalam urusan pentadbiran kerajaan terutama menarik keyakinan pelabur.

“Itu sebabnya dibubarkan kerana kerajaan yang dah ‘hung parliament’. Mana mungkin kerajaan yang ‘tergantung’ pada ketika itu mengurus dengan baik. Bagi orang luar kerajaan sebegini sebuah kerajaan yang tidak boleh diberikan kepercayaan. Mana ada pelabur yang hendak datang ke sini, mana ada pelabur nak melabur di negeri atau negara politiknya tidak stabil.

“Orang akan melabur di negeri yang dia yakin pelaburannya akan selamat, boleh dibuat untung dan boleh bawa keluar duit. Ini keutamaan dan apa yang diambil kira oleh pelabur-pelabur dari luar negara.

“Itu sebabnya Johor sebuah negeri menerajui ekonomi negara sentiasa sahaja di tempat nombor satu, kadang-kadang Selangor di nombor satu (silih ganti). Sekarang sudah jatuh tempat kelapan dari segi penerimaan pelaburan baru. Ini tidak boleh berterusan,” jelasnya lagi.

Seterusnya, Mohamad juga yakin dengan kemampuan calon yang diketengahkan oleh BN mampu membantu Pengerusi BN negeri Datuk Hasni Mohammad yang juga penyandang serta bakal Menteri Besar dan seterusnya membawa Johor ke era yang lebih baik dari sekarang.

“Calon-calon yang diketengahkan mewakili parti pada pilihan raya negeri ini merupakan calon-calon yang kita teliti, yang boleh membekalkan satu ketumbukan kepada Datuk Hasni untuk mentadbir negeri Johor yang amat penting ini. Berbagai kombinasi ada…kita perlukan orang yang boleh menterjemahkan ‘parti berasaskan khidmat bakti’ yang jadi budaya UMNO selama ini.

“Ada profesional, peguam, peguam syarie, agamawan, bekas imam besar masjid iaitu di (DUN) Layang-layang. Kita pilih supaya Datuk Hasni nanti insya-Allah diperkenan Tuanku dilantik semula sebagai menteri besar ada pasukan yang amat mantap untuk menjadi satu pasukan mentadbir negeri Johor, kita sudah ada trek rekod yang baik, itu hasrat kita,” katanya.

Kerana itu juga ujar Mohamad selaku bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, di dalam Ikhtiar BN Johor memberi tumpuan kepada aspek ekonomi dan pembinaan semula kesejahteraan.

“Perkara pokok yang kita letakkan ialah ekonomi kerana Johor dan biasa dengan sejarahnya menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi negara. Maju Johor maju negara kita. Banyak pelaburan dapat di Johor dapatlah pelaburan di negara kita. Tinggi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bertambah tinggilah KDNK negara kita.

“Tetapi malangnya selepas 2018 prestasi ekonomi Johor merudum, jatuh ke tingkat kelapan. Ini tidak boleh, bila dah begitu jadinya maka ekonomi yang tidak menentu, tidak baik kesannya kepada rakyat.

“Ini yang kita lihat, letakkan agenda ekonomi sebagai keutamaan selepas kerajaan yang stabil. Insya-Allah sekiranya diberikan mandat yang baik, kerajaan yang majoritinya baik maka soal kestabilan politik tidak timbul lagi, senang pelabur datang,” katanya.

Begitu juga katanya, Johor berpotensi besar menjadi lebih baik dengan kepelbagaian sumber di seluruh pelosok negeri serta mampu menjadi peneraju ekonomi negara dan akhirnya untuk kesejahteraan rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.