Rakyat Sudah Terbiasa Ditabir BN, Yakin Teruskan Kemajuan di Tanjung Surat – Aznan

PENGERANG, 2 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin komited untuk menyambung segala agenda pembangunan yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat di sini.

Jelas beliau, sebagai salah seorang calon Pemuda yang dipertaruhkan parti beliau mengakui bahawa kawasan ini sudah melalui pelbagai kemajuan namun memerlukan tenaga kerja golongan muda untuk bergerak ke hadapan.

“Pengundi majoriti memang sudah sinonim dengan BN di DUN Tanjung Surat ini dan harapannya dengan meletakkan calon muda akan memberikan perubahan di kawasan ini.

“Pembangunan di kawasan ini sangat hebat dan memerlukan calon-calon muda yang lebih agresif untuk memberi komitmen yang kuat kepada rakyat untuk bersama-sama dari segi membangunkan kawasan ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online di Bilik Gerakan Cawangan Pasir Gogok.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian itu juga optimis dengan saingan empat penjuru yang dihadapinya daripada parti lawan kerana bagi dirinya ini sebagai meraikan demokrasi.

Bagaimanapun katanya, rakyat perlu memilih parti yang mempunyai trek rekod cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Ini adalah kali pertama di DUN ini kita bertanding dengan empat penjuru selama ini hanya bertanding satu lawan satu dan empat penjuru ini adalah daripada parti dan juga calon Melayu

“Saya rasa saingan ini adalah sihat dan nampaknya berlaku pecah undi di DUN Tanjung Surat dan berharap rakyat membuat pilihan terbaik untuk memilih pemimpin di kawasan ini,” ujar beliau.

Aznan pada 12 Mac ini berhadapan dengan tiga parti lain antaranya, Selamat Ujud (Perikatan Nasional); Samat Atan (Pejuang) dan Rosman Tahir (PKR).

Terdahulu pada Pilihan Raya Umum ke-14, DUN ini menerusi penyandangnya dari BN, Datuk Syed Sis A. Rahman menang dengan majoritI 4,522 menewaskan pencabarnya, Zamil Najwah Arbain yang memperoleh 5,092 undi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.