Pengundi Bijak Buat Pilihan, Pilihlah Parti Berpengalaman Tadbir Negeri – Mohd Jafni
KULAI, 1 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berpandangan pemilihan wakil rakyat daripada kalangan penduduk tempatan adalah penting bagi menjamin pembangunan di kawasan.
Katanya ini kerana, anak tempatan mempunyai kelebihan berbanding calon luar yang berkemungkinan tidak memahami keperluan masyarakat setempat.
“Masyarakat terdiri daripada pelbagai golongan malah saya berpendapat calon yang perlu disokong oleh pengundi adalah mesti orang tempatan kalau calon dari luar dia tidak tahu situasi dan keadaan sebenar.
“Jumlah pengundi ketika ini sudah meningkat kepada 39,000 orang jadi rakyat perlu melihat isu calon mesti orang tempatan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai berkata, selain itu faktor pengalaman calon serta kefahaman mengenai isu kawasan juga perlu diambil kira oleh rakyat.
“Calon juga mesti dalam kalangan mereka yang berpengalaman dan perlu tahu isu-isu setempat apa kehendak rakyat di bawah.
“Saya yakin dan percaya pengundi di Bukit Permai akan memberi sokongan yang padu kepada BN di mana saya ini adalah anak tempatan dan berjiwa besar untuk mewakili mereka di DUN Johor kelak,” ujar beliau.
Jelas Jafni lagi, rakyat perlu rasional dalam membuat keputusan pada hari pengundian pada 12 Mac ini bagi menentukan kestabilan, pembangunan, kemakmuran rakyat untuk lima tahun akan datang.
Katanya, sekiranya tragedi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) berulang kembali ianya semestinya merencatkan lagi masa hadapan kerana dibimbangi negeri akan ditadbir oleh parti yang tidak berpengalaman melakukan hal-hal pentadbiran.
“Semenjak Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU ke-14 rakyat boleh menilai pada pentadbiran selama 22 bulan pencapaian yang telah dilakukan oleh parti ini kemudian bertukar pula ke Perikatan Nasional selama 16 bulan rakyat merasai situasi tersebut.
“Hari ini kita berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan ini saya harap rakyat membuka mata mata sebelum terbubarnya DUN Johor selepas PRU ke-14 kita mempunyai tiga menteri besar yang bertukar tangan. Kalau rakyat salah memilih sekali lagi maknanya kita akan berhadapan dengan masa depan yang kelam.
“Oleh itu saya menyeru dan merayu pada pengundi di Johor khasnya di DUN ini untuk kembali memberi peluang sekali lagi kepada BN, mentadbir sebuah negeri bukan perkara biasa-biasa tapi memerlukan pemimpin yang berpengalaman untuk selesaikan isu-isu rakyat selain merancang masa depan yang lebih baik,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib