BN Tidak Bela Kluster Mahkamah, Kebenaran Dedah Kebatilan – Abd Mutalip
SIMPANG RENGGAM, 1 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini tiada kaitan dengan kluster mahkamah malah tiada seorang pun yang melibatkan mana-mana ‘kluster mahkamah’ menjadi calon.
Ini kerana semenjak pembubaran DUN Johor, parti Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) mengatakan pemimpin UMNO/BN yang terlibat dalam kes pendakwaan mahkamah menjadi punca pembubaran tersebut.
“Saya melihat apabila PN dan pembangkang mengaitkan kempen BN membubarkan DUN seolah-olah calon-calon BN ini membela ‘kluster’ ini. Hari demi hari ada pendedahan, apabila datang kebenaran maka terhapus kebatilan.
“Pemimpin UMNO ini bukannya sebagai kluster tetapi mereka sebenarnya dianiaya, difitnah dan perkara-perkara ini sememangnya telah dirancang dengan begitu lama dan teliti kerana mahukan menjatuhkan UMNO/ BN pada PRN ini.
“Saya berpegang teguh pada sumpah syarie yang diucapkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak yang mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam perkara yang dituduh itu secara langsung atau tidak langsung,” katanya kepada UMNO Online, malam tadi.
Seterusnya Abd Mutalip menimbulkan persoalan mengapa hendak membabitkan mereka itu yang terbabit.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sri Gading berkata rakyat semakin bijak menilai sama ada perkara itu benar atau sebaliknya.
“Apabila rakyat banyak menerima penerangan dari hari demi hari melihat peristiwa itu semakin rumit dan rakyat boleh berfikir di mana kebenaran sebenarnya,” katanya lagi.
Tambah Abd Mutalip lagi, pembubaran DUN Johor bukannya sengaja diadakan tetapi kerana politik di Johor ini tidak stabil dan tiada kesepakatan.
“BN membubarkan negeri ini kerana mahukan kestabilan. Apabila tiada kestabilan, keamanan, kesepakatan dalam kerajaan yang betul, jitu dan dimenangi secara dominan dengan majoriti besar sudah tentu kerajaan yang bakal dibina ini pasti akan terumbang ambing,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan