BN Terbaik Jaga Kebajikan Rakyat, Ketengah Calon Disenangi – Khairi

KOTA ISKANDAR, 28 Feb – Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A.Malik percaya calon yang diketengahkan bagi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen ini akan melaksanakan yang terbaik bagi menjaga kebajikan rakyat dan pembangunan di kawasan ini.

Malah katanya perkara yang paling utama calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) iaitu DUN Kota Iskandar Pandak Ahmad dan DUN Skudai, Lim Soon Hai, dipilih kerana pendekatan mereka yang disenangi masyarakat setempat.

“Saya menyeru kepada pengundi di DUN Kota Iskandar untuk menyokong calon BN, Pandak Ahmad yang akan meneruskan kesinambungan kerja kuat UMNO untuk membantu membela masyarakat berbilang bangsa di kawasan ini, ingatlah harus memilih wakil yang benar-benar dekat dengan masyarakat.

“Beliau akan menyambung kehebatan UMNO membela masyarakat terutama di DUN Kota Iskandar manakala DUN Skudai diwakili MCA juga mempunyai kekuatan untuk membawa sokongan kaum Cina di Parlimen Iskandar Puteri ini saya percaya trek rekod MCA baik di Skudai.

“Penyokong Cina boleh membantu juga DUN Kota Iskandar kerana di sini juga mempunyai bilangan pengundi yang berbilang kaum. Saya percaya kita memerlukan undi dari pelbagai kaum… jikalau mereka ini kembali menyokong BN kita mampu untuk menang dan merampas balik daripada pembangkang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, Mohammad Khairi juga mendedahkan bahawa penyandang terutama di DUN Kota Iskandar dilihat sering mengabaikan kebajikan rakyat meskipun memegang jawatan sebagai exco kerajaan negeri ketika PH mentadbir selama 22 bulan.

Jelas beliau, perkara ini berbeza seperti dilakukan BN yang sentiasa berterusan membantu rakyat meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan termasuk ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

“Sepanjang PH memerintah negeri Johor ini terutamanya Kota Iskandar walaupun kita ada wakil rakyat daripada Amanah beliau tidak membuat sebarang perkara yang berunsurkan kemajuan meskipun pernah menjadi exco dan jawatan lain dalam kerajaan.

“Saya tidak nampak beliau membawa banyak perkara untuk kebaikan masyarakat di sini berbanding dengan UMNO/BN yang berjumpa dengan agensi kerajaan minta tanggungjawab sosial korporat membawa peruntukan untuk diberikan terutamanya mereka yang memerlukan bantuan persekolahan.

“Ini membuktikan bahawa BN ini sentiasa membantu masyarakat walaupun ketika kita tidak ada memegang sebarang kuasa,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.