Semangat Jentera Cukup Tinggi, Yakin Dengan Kemampuan BN – Sharkar
MERSING, 27 Feb – Semangat jentera pelbagai peringkat dilihat berada dalam posisi yang terbaik dan cukup tinggi dalam usaha membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN).pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk di DUN Tenggaroh.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara berkenaan dapat dilihat di DUN Tenggaroh yang juga merupakan DUN angkat UMNO Temerloh.
“Saya telah ke Bangunan UMNO Bahagian Mersing, turun bersama-sama memberi sokongan moral kepada calon Barisan Nasional N.33 Dun Tenggaroh Saudara Raven Kumar a/l Krishnasamy sebelum beliau ke tempat pencalonan. Turut bersama Datuk Sri Saravanan Murugan, Timbalan Presiden MIC.
“Kemudian di sebelah petang saya mengiringi calon ketiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi sesi suai kenal dengan jentera serta menyampaikan amanat dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka bagi mengharungi PRN kali ini.
“Insya-Allah, jentera di PDM telah lama bersiap sedia dan akan berjuang sepenuh hati bagi memenangkan calon BN di DUN Tenggaroh. Semoga kekal istiqomah dengan perjuangan bagi membela nasib anak bangsa dan negara,” ujarnya.
Seramai 239 calon layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata selain itu, tiada pencalonan yang ditolak selepas proses penamaan calon.
“Daripada 239 calon layak bertanding, 202 adalah lelaki dan 37 lagi adalah wanita,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, selepas selesai proses penamaan calon.
Terdapat kira-kira 2.5 juta pemilih berdaftar pada PRN Johor yang melibatkan pertandingan di 56 kerusi. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas