Jentera BN Berkempen Secara Berhemah, Berfakta Semasa PRN Johor – Bung Moktar
PASIR GUDANG, 27 Feb – Barisan Nasional (BN) akan menggunakan cara berkempen lebih berhemah dan berfakta semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan cuba mengelak pendekatan dan penyampaian yang tidak digemari oleh pengundi.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, semua jentera BN haruslah berkempen melalui pendekatan tersebut dan memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan betul sehingga tidak menimbulkan fitnah.
“Jentera BN mesti bertindak secara bijaksana dan wajar mempelbagaikan pendekatan serta strategi bagi menghadapi pengundi Johor yang berbeza sikap dan pemikiran.
“Keadaan semasa mencabar dan situasi tidak sama, maka BN mesti bekerja lebih luar daripada kebiasaan dalam menghadapi PRN pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohd Taib ke pusat penamaan calon di Stadium Tertutup Pasir Gudang, kemarin.
Hadir sama Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Mohamed Khaled Nordin.
Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga malah berkata jentera BN tidak perlu terikut-ikut dengan budaya kempen parti lawan yang lebih banyak menabur fitnah dan melakukan serangan peribadi sehinggakan budaya ini yang dibawa semasa Pilihan Raya Umum (PRU-14) sehingga rakyat terpengaruh.
“Selama mereka memerintah selama 22 bulan rakyat telah berfikir, fitnah yang mereka taburkan hanya senjata untuk meracuni pemikiran rakyat dan manifesto yang dijanjikan gagal dilaksanakan sehingga setuasi politik kucar kacir dan ekonomi negara semakin terjejas” jelas Bung.
Sehubungan dengan itu Bung mengingatkan, tanggungjawab besar sebagai jentera komunikasi dan penerangan UMNO BN adalah terlebih dahulu memahami latar belakang dan kedudukan serta sikap pengundi.
Terdahulu Bung yang juga Ketua UMNO Sabah mengetuai seramai 400 orang jentera parti dari Sabah membantu berkempen di empat buah DUN iaitu Tiram dan Puteri Wangsa di Parlimen Tebrau dan DUN Permas dan Johor Jaya di Parlimen Pasir Gudang.
Beliau sementara itu turut mengakui BN berhadapan dengan cabaran pada PRN kali ini di kawasan tersebut berdasarkan keputusan PRU-14 namun ia tidak akan melemahkan semangat jentera BN untuk melakukan gerak kerja yang lebih berfokas dan semangat juang yang tinggi bagi memastikan kawasan ini kembali ke tangan BN.
“Insya-Allah BN akan digemari pengundi jika maklumat dan kaedah kempen yang disampaikan dengan cara betul.
“Semua ini penting kerana rakyat dan pengundi di PRN Johor menilai BN. Maka jentera parti mesti berkempen kepada keseluruhan rakyat Johor dan tidak hanya kepada ahli parti sahaja. Tanggungjawab besar ialah memastikan pengundi di Johor bersama BN,” katanya. – UMNO Online