DUN Sri Medan Ada Cabaran Tersendiri, BN Tak Ambil Mudah – Zulkurnain
JOHOR BAHRU, 25 Feb – Ketua UMNO Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai cabaran tersendiri termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan.
Beliau yang dinamakan oleh parti sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kawasan DUN Sri Medan seterusnya berkata pendekatan untuk mendekati pengundi akan terus dipelbagaikan dalam usaha memastikan penyampaian maklumat tercapai.
“Kita melihat cabaran daripada pelbagai sudut termasuklah tambahan pengundi secara automatik dan undi 18 yang mana mungkin cara pendekatan agak berbeza jika kita bandingkan dengan kempen-kempen sebelum ini.
“Saya lihat 40 peratus pengundi-pengundi adalah bawah 40 tahun dan mereka ini perlu kita dampingi dan juga lihat program yang sesuai dengan jiwa mereka,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau seterusnya melihat penglibatan undi 18 yang diberikan ruang untuk sama-sama membuat pilihan menerusi sistem demokrasi adalah satu langkah yang wajar.
“Saya juga lihat bahawa dengan adanya ruang dan peluang kepada pengundi 18 tahun ini untuk terlibat sama dalam pembentukan sesebuah kerajaan adalah satu perkara yang baik,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan kepercayaan untuk menggalas amanah sebagai calon DUN Sri Medan.
“Terima kasih kepada pimpinan parti yang telah memilih saya untuk bertanding penggal yang ketiga. Saya lihat ini merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk DUN Sri Medan,” ujarnya. – UMNO Onlie0