PRN Johor: BN Terus Buka Peluang Wanita Wakili DUN – Noraini
JOHOR BAHRU, 24 Feb – Barisan Nasional (BN) terus membuka peluang seluas-luasnya kepada penglibatan wanita dalam politik negara apabila menampilkan lebih 10 calon kaum hawa untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan berbanding enam calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14, langkah itu sekali gus menunjukkan parti gabungan tersebut membuka ruang luas untuk membolehkan pelbagai isu wanita diketengah di platform lebih tinggi dalam sistem kerajaan negeri.
Ketua Wanita UMNO itu berkata BN juga dilihat memberi kesempatan kepada wanita diangkat menjadi Exco Kerajaan Negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat membentuk kerajaan di Johor.
“Ini menunjukkan bahawa kepimpinan parti memberi pengiktirafan kepada wanita yang sememangnya mempunyai kemampuan serta kelayakan untuk menjadi wakil rakyat di DUN,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad hari ini mengumumkan senarai 41 calon daripada UMNO dan MIC yang akan bertanding pada PRN Johor termasuk 10 wanita.
Pada sebelah petang pula, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memperkenal 14 calon parti itu dengan empat daripada mereka adalah wanita.
Noraini, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, berkata Wanita UMNO dan BN akan memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap calon menyumbang kepada kemenangan gabungan politik itu pada PRN Johor sesuai dengan tema Kestabilan Demi Masa Depan.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Parit Sulong itu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana pengiktirafan yang diberikan kepada wanita ketika ini.
“Dengan itu, diharapkan pengundi dapat membuat pilihan tepat kali ini kerana fakta telah membuktikan bahawa hanya BN sahaja dapat mentadbir Johor dengan baik dan komitmen kami adalah untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Johor seperti sebelum ini.
“Undilah dengan bijak kerana undi anda menentukan masa depan negeri yang kita cintai ini. Maka undilah untuk Kestabilan Demi Masa Depan,” katanya. – BERNAMA