Rakyat Johor Nantikan PRN, Harapkan Kerajaan Demi Kestabilan Masa Depan
KUALA LUMPUR, 23 Feb – Rakyat Johor sememangnya menanti untuk memberi mandat baharu pada kerajaan yang bakal dibentuk melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac kelak.
Bagi Mohd Adnan Salka, 54 tahun beliau memahami keperluan untuk mengadakan PRN ini kerana Dewan Undangan Negeri (PRN) sebelum dibubarkan adalah hanya perbezaan satu kerusi di antara kerajaan dan pembangkang.
“Kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad perlukan ihsan daripada pembangkang setiap kali hendak buat undian jadi kalau dewan sama-sama 27 keputusan speaker yang buat, tapi kalau speaker arahnya semestinya akan ke pembangkang.
“Jadi memang patut dibubarkan untuk berikan mandat sekali lagi kepada rakyat untuk memilih siapa yang mampu mentadbir negeri ini.
“Rakyat sebelum ini memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) tapi kita telah tengok mereka totally gagal, apa keperluan rakyat semua diabaikan nampak macam kerajaan tidak ada di Johor ini,” katanya.
Perkara sama turut dipersetujui, Norlela Husin, 49 tahun, yang mengharap sebuah kerajaan yang kukuh untuk membawa negeri ini pembangunan lebih terancang sekaligus akan membawa manfaat kepada rakyat.
“Bila difikirkan balik kita perlu sebagai rakyat Johor, saya sayang negeri saya tapi kalau keadaan politik tidak stabil seperti ini susah hendak mentadbir.
“Susah untuk kerajaan melakukan dasar-dasar, dengan pemergiaan ADUN Kempas ke Rahmatullah membuatkan ianya sangat tidak stabil.
“Jadi memang keputusan yang tepat untuk pulangkan balik mandat kepada rakyat supaya mereka boleh memilih yang paling betul dan terbaik untuk mentadbir negeri kesayangan kita ini,” ujarnya yang juga seorang peniaga.
Sementara itu, Faiz Banafee, 37 tahun, mengakui rindukan situasi terdahulu yang menyaksikan bahawa negeri ini dipimpin oleh kerajaan yang stabil tanpa ada gangguan dalam melakukan tadbir urus negeri.
“Johor negeri yang hebat jadi kita perlukan kerajaan yang hebat tapi untuk dapatkan ia kita perlukan kerajaan yang stabil .
“Jelas kalau kerajaan yang terbubar baru-baru ini majoritI satu kerusi ini tidak stabil. Keadaan ini menyukarkan untuk membawa agenda rakyat kerana asas demokrasi adalah rakyat.
“Selepas pertukaran kerajaan saya sebagai usahawan melihat semuanya perancangan-perancangan sebelum ini tertangguh. Jadi pilihan dalam tangan rakyat kita sendiri pilih siapa yang kita hendak sebagai kerajaan untuk kembalikan negeri ini ke landasan yang betul seperti berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14,” tegas beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb, dan pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib