Johor Pintu Utama Negara, Tidak Boleh ‘Demam’… Perlu Stabil – Alwi

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad menekankan dalam apa jua keadaan, Johor amat memerlukan kestabilan memandangkan negeri tersebut adalah sebuah negeri yang berada di pintu depan negara Malaysia dan oleh itu perlunya soal berkenaan dalam usaha memastikan ianya tidak memberi impak kepada negara.

Tegas beliau jika Johor ‘demam’ percayalah bukan sahaja ianya akan membabitkan negeri tersebut malah ianya akan memberi kesan yang cukup besar kepada negara daripada pelbagai sudut terutama soal pelaburan.

“Jangan lupa Johor adalah pusat ekonomi negara. Johor ini negeri yang berada di depan. Kalau diumpamakan sebuah rumah, Johor ini adalah pintu utama dan bukannya pintu belakang atau pun dapur. Johor demam Malaysia boleh demam sebabnya pelaburan banyak di Johor.

“Dan jangan lupa juga, kerajaan Johorlah kerajaan yang telah berjaya membawa masuk pelaburan yang sangat besar daripada negara China. China memilih Johor dan tidak memilih Singapura untuk  ‘invest’. China dan Singapura adalah dua ‘investor’ yang paling besar dalam negara kita dan kedua-dua ini pelaburan besarnya di Johor.

“Menteri Besar Johor mesti ‘dealing’ bukan sahaja dengan menteri besar negeri lain malah dengan sebuah negara maju. Bukan senang mahu jadi Menteri Besar Johor. Jadi kerajaan negeri mesti stabil sebab pelaburan yang berbilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program bual bicara PRN Johor: Johor Tidak Boleh ‘Demam’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online, di sini, malam tadi. Moderator Dr Fauzi Shafie.

Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas turut mengimbau sejarah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri berkenaan 12 Mac depan.

Kata beliau biarpun ianya telah menjadi sejarah, namun semua pihak perlu menghayatinya bagaimana keadaan itu boleh berlaku dan banyak pengajaran yang boleh diambil menerusi sejarah berkenaan.

“Pada saya perlu bubar atau tidak DUN Johor ianya sudah menjadi sejarah dan ianya tidak perlu kita bincangkan lagi tetapi oleh kerana ianya satu sejarah kita patut tahu kenapa ianya berlaku sebab sejarah ini mengajar kita. Kita kena belajar daripada sejarah. Bangsa yang tidak belajar daripada sejarah akhirnya akan diajar oleh sejarah.

“Pada saya yang ‘trigger this election’ adalah pembangkang. Kalaulah kerana mereka tidak membawa usul khas pada akhir sidang DUN Johor yang lepas perkara ini tidak mungkin akan berlaku. Sebab bajet sudah diluluskan dan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Ir Hasni adalah kerajaan pertama yang membuat CSA dengan pembangkang. Sebelum Perak lagi beliau dah buat…maknanya dah ada perjanjian untuk bersama dan perjanjian ini ditunai oleh pembangkang (PH).

“Tetapi selepas Bajet ada satu peristiwa di mana pembangkang membawa usul untuk memilih ADUN pembangkang berada dalam Majlis Tindakan Daerah. Arahan nombor satu kerajaan Ahli Majlis Tindakan Daerah adalah terdiri daripada ADUN-ADUN kerajaan.

“Sedangkan perkara ini tidak perlu dibawa usul pun dan boleh dibawa dalam ‘administratif’..benda boleh bincang tetapi masih mahu dibawa usul. Kenapa mahu dibawa usul..pada masa itu kerusi 28-27 dan tiba-tiba seorang daripada ADUN kerajaan positif COVID. Jadi 27-27 dan mereka tahu speaker adalah daripada Amanah,” katanya.

Katanya lagi, apabila usul ini dibawa maka berlakulah pengundian dan kedudukannya 27-27, namun Alhamdulillah Speaker berada di pihak kerajaan dan usul itu tidak lepas.

“Tetapi telah tercetuslah bahawa kerajaan negeri Johor sebenarnya adalah kerajaan yang tidak stabil. Sebab apa-apa pun boleh berlaku …kalau benda sekecil itu pun dibawa usul, dalam pemerintahan  yang ada 400 hari lagi ini apa apa pun boleh berlaku,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.