Tindakan Muhyiddin Cubaan Takutkan Rakyat Dan Pelabur – Shahril

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah bertindak menakutkan rakyat dan pelabur melalui kenyataannya akan membongkarkan kedudukan kewangan negara.

Katanya, beliau sebagai bekas Perdana Menteri tidak sewajarnya bertindak seperti itu kerana ketika pentadbirannya sendiri negara berdepan dengan kesan situasi luar jangka akibat penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi negara bahkan di peringkat global.

“Beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak perlu takutkan pelabur dan rakyat, untuk apa? Situasi tidak semolek seperti yang digambarkan seperti mana itu?

“Sedangkan beliau sendiri tahu bahawa satu dunia terkesan dengan COVID-19 waktu jadi Perdana Menteri pun ekonomi kita menguncup lebih 17 peratus, kadar pengangguran naik 5.3 peratus, 300,000 orang hilang pekerjaan, pelaburan langsung asing (FDI) kita paling tercorot dalam Asia tapi kita faham tiada satu negara pun yang terkecuali daripada kesan ini,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya.

Sementara itu, jelas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu lagi tiada keperluan untuk Muhyiddin berbuat demikian kerana kedudukan kewangan negara boleh diakses dalam pelbagai dokumen.

Menurutnya, bahkan segala perbelanjaan termasuk hutang dan defisit bukan suatu rahsia besar untuk disorokkan kerana rakyat juga berhak untuk mengetahui perkara itu.

“Sebenarnya tidak perlu tunggu Muhyiddin bocorkan apa-apa berkenaan kewangan negara sebab ia boleh akses melalui pelbagai medium pertama melalui penyata kewangan negara oleh Jabatan Audit dan Jabatan Akauntan.

“Kedua laporan suku tahunan setiap suku yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan juga Kementerian Kewangan malah yang ketiga juga diterbitkan kedudukan fiskal kerajaan secara bulanan oleh Bank Negara Malaysia mengikut standard antarabangsa seperti IMF special data dissemination standard,” ujar beliau.

Tambah Shahril lagi, Muhyiddin seharusnya perlu meraikan kejayaan yang dilakukan oleh penggantinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menerajui negara.

“Alhamdulillah sejak Ismail Sabri mengambil alih jumlah pekerjaan tercipta 272,000, pengangguran jatuh kepada 4.2 peratus, FDI naik dengan RM24.7 bilion dalam suku terakhir 2021. Ekonomi kita kembali berkembang, eksport memecah rekod tertinggi.

“Peringkat Johor pula meskipun menghadapi besar cabarannya dengan penutupan sempadan Johor dan Singapura saya bagi contoh seluruh Malaysia pada 2020 hilang 300,000 pekerjaan tapi Johor berjaya menambah 20,000 pekerjaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Johor pun lebih kecil penguncupan berbanding Malaysia.

“Hasil daripada pelaksanaan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang dibuat dengan baik oleh Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad jadi memang kesimpulannya besar lagi cabaran ekonomi Malaysia, rantau dan dunia memang besar cabarannya tapi tidak perlu untuk takutkan pelabur dan rakyat,” tegas beliau. – UMNO Online