Dinamika Baharu Politik, Raih Sokongan Undi 18 Terhadap UMNO/BN – Syed Johan

ALOR SETAR, 19 Feb – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan pendaftaran automatik Undi18.

Ini kerana katanya situasi berkenaan sebagai dinamik baharu dalam politik, maka peranan Penerangan Pemuda UMNO sangat diperlukan agar dapat menyampaikan maklumat kepada pengundi muda yang pertama kali mengundi.

“Undi 18 dan automatik ini menjangkau lebih ratusan ribu dan ini antara peranan kita yang perlu mempelbagaikan penerangan supaya dapat menyampaikan maklumat kepada golongan ini secara lebih berkesan. 

“Pengundi muda hari ini dahagakan input, fakta dan isu-isu yang menjadi pertikaian antara mereka maka UMNO/BN perlu menyainginya, jika UMNO/BN tidak berjaya menyainginya maka akan ketinggalan dalam persaingan propaganda dan penerangan dalam isu-isu yang melanda negara.

“Begitu jugalah pada PRN Johor nanti… anak-anak muda memerlukan pencerahan yang lebih baik supaya BN mendapat tempat dan diberi mandat semula secara lebih baik majoritinya dan dapat memimpin kerajaan Negeri Johor,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk rekod, bagi negeri Johor ia akan menyaksikan pertambahan seramai 700,000 pengundi baharu dari kalangan anak muda yang layak mengundi pada PRN Johor.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah turut menjelaskan pihaknya telah mempersiapkan jentera bagi membantu kempen pada PRN Johor.

“Kita akan menghantar jentera yang signifikan pada PRN Johor dan sama-sama berkerja supaya BN mendapat mandat daripada rakyat negeri berkenaan,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan. – UMNO Online
Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit