Aplikasi Media Sosial Fokus Santuni Anak Muda Sokong BN – Mohd Zaidy

JOHOR BAHRU, 17 Feb – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menekankan penggunaan media sosial sebagai platform yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mendekati golongan muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, kali ini mungkin cara berkempen agar luar biasa berbanding dengan PRN Melaka kerana ia melibatkan undi 18 tahun yang telah diwartakan 15 Dis lalu.

“Maknanya kita ada pengundi muda untuk kita santuni agar memberikan sokongan kepada UMNO/BN.

“Cabaran kita adalah untuk menyantuni anak-anak muda dan kali ini kita berkempen lebih kepada aplikasi media sosial iaitu secara maya memandangkan keadaan SOP yang perlu dipatuhi dan kes COVID semakin meningkat.

“Yang penting kita menjaga keselamatan kerana kita tak mahu ada isu berlaku terhadap jentera-jentera dan pengundi kita,” katanya kepada UMNO-Online baru-baru ini.

Dalam hal ini beliau mengingatkan bahawa antara faktor kegagalan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu ialah akibat penggunaan media sosial.

“Kita perlu lebih mendekati anak-anak muda dengan platform media sosial yang lebih cenderung digunakan anak-anak muda.

“Oleh itu kita dalam BN perlulah mengaplikasikan media sosial ini kerana antara faktor kita kalah dulu ialah kegagalan BN dalam menggunakan media sosial. Jadi kita pastikan keadaan ini berubah dan BN menang dalam PRN ini,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit