Akaun WhatsApp, Telegram Ahmad Zahid Digodam

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam satu perkongsian di Facebook dan Twitter pagi tadi telah memaklumkan bahawa akaun di aplikasi Telegram dan WhatsAppnya telah digodam.

“Kepada rakan dan kenalan yang menerima mesej tidak berkaitan sila abaikan,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau kini dalam usaha mendapatkan semula akaunnya itu.

Di dalam grafik yang disertakan, jelas penggodam tersebut telah menyamar sebagai Ahmad Zahid dengan turut menggunakan wajah beliau.

Penggodam berkenaan memohon bantuan kewangan sebanyak RM5,000 serta sedia membayarnya kelak.

Turut disertakan bersama nama bank dan nombor akaun bank atas nama Zainal Abidin.

Manakala di dalam ruangan komen Facebooknya itu, seorang pelayar maya dengan nama Iqbal Idham berharap agar isu godam ini mendapat perhatian dari pihak berwajib.

Begitu juga bagi Maria Rini dan AbdollRahim yang berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan berdasarkan terteranya butiran pemilik akaun bank yang digunakan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.