UMNO Hargai Keprihatinan NGO Bawa Suara Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghargai keprihatinan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bertanggungjawab dengan situasi semasa khususnya isu-isu membabitkan rakyat.

Katanya, beliau memahami hasrat yang dibawa oleh mereka kerana percaya bahawa UMNO sebagai saluran menyuarakan keluhan apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mewakili daripada parti keramat ini.

“Saya dikunjungi ketua dan wakil beberapa NGO termasuk PPIM. Mereka menyuarakan kebimbangan, keresahan dan kerisauan tentang beberapa isu yang sedang dihadapi rakyat.

“Antaranya berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu masyarakat yang masih berdepan dengan tekanan ekonomi. Mereka turut menyuarakan tentang isu kesan sampingan dos ketiga vaksin COVID-19 yang rata-rata penerima mengalaminya.

“Begitu juga dengan kewajaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. Turut dibangkitkan tentang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pindaan untuk menaikkan nilai kompaun sehingga RM10,000 yang dikhuatiri akan menambah penderitaan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) malah menegaskan bahawa perkara yang dinyatakan oleh NGO terbabit akan dibawa kepada kerajaan.

“Mungkin juga mereka putus harapan terhadap saluran sedia ada sehingga mencari saluran politik untuk suara rakyat didengari. Saya mengalu-alukan kehadiran NGO terbabit dan bagi saya kerajaan harus mendengar pandangan-pandangan NGO ini.

“Jangan menolak terus kerana pasti ada asas tentang keprihatinan mereka membawa suara rakyat suara keramat. Dengar, berbincang dan lakukan yang terbaik untuk rakyat, bukan menyanggah dan kemudian mengeluarkan arahan berbeza-beza.

“Saya dan rakan-rakan kepimpinan UMNO akan membawa perkara diketengahkan NGO terbabit secepat mungkin kepada kerajaan. Ini bukan mainan politik kerana dalam keadaan apa sekali pun UMNO akan tetap mengutamakan dan memihak kepada rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.