Muhammad, Pasangan Kembar Siam Luah Penghargaan Keprihatinan UMNO

PUCHONG, 2 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini berkunjung ke rumah pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli bagi memberikan bantuan ekoran bencana banjir yang dihadapi mereka dua minggu lalu.

Bagi Muhammad , 24 tahun beliau meluahkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan UMNO Malaysia malah tidak menyangka dengan kehadiran pasukan Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat ke rumahnya hari ini di Kampung Tengah Puchong.

“Hendak ucapkan terima kasih, saya pun tidak sangka lagi pun tadi saya buat kerja tiba-tiba ada kunjungan daripada UMNO saya agak terkejut,” katanya kepada UMNO Online.

Menceritakan detik dilanda banjir beliau memaklumkan dirinya dan beberapa ahli keluarga terpaksa duduk di bahagian loteng rumah selama tujuh jam sebelum didatangi oleh pasukan penyelamat.

“Banjir waktu itu hari Sabtu pada petang longkang rumah saya mula penuh kemudian makin lama makin naik dan air sangat laju, sampai pukul sembilan malam kami naik duduk atas loteng, ayah dukung naik ke atas.

“Tapi yang lain masa itu seperti datuk sudah keluar, sekitar empat pagi ada pasukan penyelamat yang datang ambil kami naik bot namun kini pembersihan sudah dilakukan sekitar tiga, empat hari lalu itu pun ada orang tolong datang kawan ayah semua,” ujar beliau.

Turut hadir memberikan sumbangan tersebut adalah Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman yang turut bertanya khabar kepada keluarga pasangan kembar berkenaan.

Terdahulu pada 2001, Ahmad dan Muhammad pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia kerana kedua-duanya dahulu dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha, kemudian pada September tahun berikutnya, mereka dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.