Mangsa Banjir Terus Dapat Perhatian, Bantuan Terus Disalurkan – Sharkar

TEMERLOH, 2 Jan – Pelbagai usaha dapat dilihat serta pelbagai bantuan pula disalurkan kepada mereka yang terkesan serta dilanda musibah banjir baru-baru ini.

Di Temerloh, Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) kawasan berkenaan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama yang lain menyantuni mangsa banjir.

“Pagi tadi saya menyambut kedatangan Perdana Menteri ke Majlis Pelancaran Misi Bantuan Mangsa Banjir Keluarga Malaysia di Dewan Orang Ramai Lanchang.

“Selain menyampaikan bantuan barangan keperluan asas, diadakan juga penyampian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada mangsa banjir di Temerloh oleh Kerajaan Malaysia dan RM500 oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi mereka yang terkesan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sementara itu, Sharkar yang juga Ketua UMNO bahagian Temerloh turut memaklumkan Datuk Seri Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan untuk pembinaan loji air baru di Mempateh.

“Dalam ucapan, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi membina loji air baru di Mempateh yang akan menjadi sumber bekalan air bersih sekaligus menyelesaikan isu air yang sering berlaku di Lanchang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sharkar turut memberitahu pihaknya turut melawat serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang kehilangan suami dan anak ketika banjir baru-baru ini.

“Pagi tadi saya bersama Tok Penghulu, APM dan Pejabat Daerah Temerloh menyampaikan sumbangan kepada Puan Ramlah Binti Sulaiman yang kehilangan suami, Musa bin Ahmad dan anak, Mohammad Aireel Zikree Bin Musa akibat kejadian lemas ketika banjir melanda Mentakab tempuh hari.

“Saya harap Puan Ramlah sekeluarga tabah menghadapi dugaan yang besar ini. Saya juga mendoakan kedua-dua arwah ini ditempatkan dikalangan yang terpilih disisi-Nya,Al-Fatihah,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.