Jadikan Semangat ‘Abang Viva’ Dan Sukarelawan Lain Sebagai Suntikan Semangat – Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kisah-kisah kesukarelawanan seperti ‘Abang Viva’ dan sukarelawan-sukarelawan lain dalam usaha membantu mangsa banjir terus diangkat dan ditonjolkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau apa yang ditonjolkan itu diharap dapat menjadi suatu suntikan semangat untuk dicontohi oleh lebih ramai rakyat di negara ini.

“Saya ikuti maklumat-maklumat yang dilaporkan tentang Abang Viva sama ada oleh pihak media mahupun netizen. Hari ini baru ada kesempatan untuk menulis sedikit tentang pemuda yang menjadi bualan orang ramai berkenaan.

“Banyak perkara menarik saya baca tentang Abang Viva mengenai kisahnya membantu mangsa banjir. Hanya berbekalkan wang saku RM50, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah bot kecil dari Melaka.

“Sehinggakan kisahnya diangkat dalam khutbah Jumaat dan sumbangannya mendapat pujian sidang DUN Melaka. Secara umum antara perkara yang dapat dirumuskan mengenai Abang Viva adalah ‘budi yang baik dikenang jua’,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi apa yang dilakukannya itu mendapat sanjungan, diingati dan menjadi bualan orang ramai sehingga hari ini.

Ternyata katanya lagi Abang Viva telah memberi sebuah inspirasi baharu kepada rakyat Malaysia tentang kesukarelawanan.

“Pemuda bernama Azwan Omar itu juga telah membuktikan kepada semua tentang nilai murni rakyat Malaysia. Betapa anggota masyarakatnya saling mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain.

“Pasti berusaha dan berikhtiar membantu mereka yang dalam kesulitan mengikut kemampuan yang ada.Dan saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia seperti Abang Viva terlibat dalam membantu mangsa banjir seadanya. Sama ada disedari atau kurang disedari kepada semua mereka kita ucapkan terima kasih kerana jasa dan sumbangan,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.