Banjir Di Segamat : Wanita Cawangan Bantu Di Pusat Pemindahan – Norshida

SEGAMAT, 2 Jan – Wanita UMNO Segamat hari ini mengambil tindakan awal dengan melantik Ketua Wanita UMNO Cawangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Ketuanya Datuk Norshida Ibrahim berkata langkah berkenaan diambil setelah beberapa kawasan di Segamat mula dinaiki air selain perbincangan dengan agensi kerajaan yang lain dalam usaha melicinkan bantuan sewajarnya.

“Awal pagi ini bersarapan pagi bersama Ketua Wanita UMNO Cawangan di Segamat bagi sambil berbincang penyelarasan gerak kerja bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

“Selepas itu bersama sahabat-sahabat Ketua Wanita Cawangan melawat ke PPS di Segamat dan saya telah melantik Ketua Wanita Cawangan di PPS sebagai pemantau serta membantu urusan bantuan kepada mangsa banjir dari Wanita UMNO Segamat,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam pada itu beliau seterusnya memohon serta merayu agar saluran bantuan Jabatan Kerajaan iaitu Pejabat Daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti keperluan tempat tidur dan makanan disegerakan.

“Terima kasih kepada Southern Volunteers di ketuai oleh Datuk Onn Hafiz yang dengan segera hadir memberikan bantuan makanan, keperluan seperti selimut & tuala di PPS Kg Gelang Chin Chin semalam.

“Semoga Allah memudahkan segala urusan bantuan kepada mangsa banjir dan banjir akan segera surut. Kepada Allah kita berserah segalanya,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.