Sama-Sama Muhasabah 2021, Mujahadah 2022 – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan hari ini mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama muhasabah dengan kedatangan tahun baharu 2022.

Jelas beliau hari ini dengan sebahagian rakyat dilanda musibah dan negara turut berdepan dengan pandemik COVID-19 serta banjir ia merupakan ujian daripada Allah swt.

“Hari ini hari terakhir tahun 2021 Masihi. 31 Disember 2021, jatuh pada hari ini, hari Jumaat Sayyidul Ayyam. Pada masa ini situasi di dalam negara kurang memberangsangkan. Sebahagian daripada rakyat dan masyarakat kita dilanda musibah.

“Musibah dalam musibah. Belum pun habis musibah pandemik COVID-19, kita dilanda musibah banjir di beberapa tempat.

“Amaran banjir gelombang kedua turut dikeluarkan bagi beberapa negeri yang dijangka pada hujung minggu ini. Awal tahun baru 2022. Maka, acara sambutan tahun baru 2022 yang selalunya diraikan pada tahun-tahun sebelum ini digantikan dengan majlis zikir dan doa selamat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu, apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan pasti ada sebab serta musababnya dan sebagai hamba kepada Allah memang layak diuji.

“Tanda beriman ialah percaya kepada qada’ dan qadar’ takdir baik dan buruk. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran dan maksudnya sebagaimana berikut: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah: 216).

“Maka, sebagai manusia pula kita yang hidup mesti terus hidup. Jatuh, kita bangkit. Gagal, kita cuba lagi dengan penuh semangat dan tenaga.

“Yang penting kita positif dan optimis memandang masa depan dengan penuh harapan. Harapan supaya Allah memberikan sinar dan cahaya yang lebih baik, cemerlang dan gemilang pada tahun 2022,” ujarnya.

Ujar beliau lagi tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dan segala macam kenangan bersamanya yang menjadi pengajaran, semangat dan azimat untuk mencipta tahun baru dengan lebih berjaya.

“Kita muhasabah apa yang berlaku pada 2021. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Buang yang buruk, ambil yang baik. Kita mujahadah untuk tahun baharu 2022, dengan azam, tekad dan semangat bahawa sesiapa saja yang berusaha, pasti akan berjaya. Selamat datang tahun baharu Masihi, 2022,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.