i-Citra: Zahid Harap Kerajaan Jangan Tutup Sepenuhnya, Dengar Rintihan Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Dis – “Jangan ditutup sepenuhnya. Dengari rintihan rakyat.”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap masih ada ruang buat kerajaan membenarkan lanjutan skim i-Citra.

Ujarnya, rakyat yang menjadi mangsa banjir, ditimpa bencana tanah runtuh, masih dalam kesempitan kesan darurat dan PKP separuh masak yang lepas.

“Jika Menteri Kewangan memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, Kabinet telitilah dengan mendalam terlebih dahulu.

“Perlu ada ‘political will’ kerana rakyat yang baru terjejas atau sekian lama terkesan perlukan wang untuk perbaiki keadaan mereka,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum ini pun menteri yang sama beri pelbagai alasan, namun terbukti ia boleh dilakukan selepas desakan demi desakan.

“Justeru jangan disulitkan keperluan rakyat kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.”

Katanya, berdasarkan respons di media sosial, rakyat tidak ‘prefer’ membuat pinjaman dan mahu menggunakan dana sendiri.

“Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang. Sebahagiannya susah dan tidak mampu pun membayar hutang yang sudah sedia ada.

“Tempoh enam bulan atau setahun penangguhan bayaran balik tetap bermakna mereka sudah menambahkan lagi bebanan hutang.

“Tidak ubah seperti gali lubang tutup lubang. Pinjam uang bayar hutang.”

Namun katanya, jika itu sahaja pilihan yang ada, maka apakan daya mungkin ramai terpaksa menambah hutang sedangkan sebahagian rakyat mahukan penambahan skim i-Citra adalah bagi mengurangkan bebanan hutang. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit