Banjir: UMNO Juara Peduli Rakyat, Konsisten Hulur Bantuan – Ahmad Maslan

MARAN, 30 Dis – UMNO sentiasa menjuarai hati rakyat mendepani apa jua cabaran termasuk dalam menghadapi bencana banjir yang dilalui mereka ketika ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas beliau ianya dibuktikan apabila parti keramat ini sentiasa konsisten menghulurkan bantuan malah menubuhkan Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO.

“Kita ada moto ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ juga ada ‘UMNO Sebuah Perjuangan’ kita juga sentiasa menjuarai nasib rakyat.

“Ini terbukti apabila berlaku bencana seumpama ini kita berkhidmat dengan sebaik mungkin serta secara sukarela termasuk melaksanakan misi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada UMNO Bahagian Maran yang turut dihadiri oleh ketuanya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Terdahulu Ahli Parlimen Pontian itu telah mengetuai misi tersebut ke Pahang bagi memberi sumbangan keperluan asas kepada UMNO Bahagian termasuk Maran, Kuala Krau dan Jerantut untuk diagihkan kepada golongan yang terjejas.

“Syukur ke hadrat Allah bersama sukarelawan UMNO Malaysia ke tiga bahagian ini kemudian ke Janda Baik bersama sukarelawan Perak. Ini adalah satu usaha berterusan UMNO Pusat, negeri dan bahagian membantu rakyat yang terkesan dengan bencana banjir

“Kita mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan di mana juga mereka berada malah saya tadi bertemu dengan sukarelawan dari Perlis, Terengganu, Universiti Teknologi MARA, GiatMara serta Kolej Komuniti.

“Kelihatan bukan sahaja parti kita tetapi juga agensi-agensi di bawah kerajaan memainkan peranan yang cukup baik dan saya juga gembira dengan sumbangan RM1,000 daripada Pusat dan RM500 daripada kerajaan negeri Pahang diberi kepada mangsa banjir memang kita minta ianya disegerakan dan nampaknya dilaksanakan ketika ini,” ujar beliau.

Kelmarin Ahmad melalui misi yang sama telah menyantuni mangsa-mangsa banjir di Linggi dan Ayer Limau dengan membawa barang-barang keperluan makanan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

Sejak bencana banjir melanda, misi terbabit telah memulakan gerakan dengan beliau sendiri mengetuai bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Lembah Klang dan Selangor.

Sebelumnya gerakan turun padang Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO ini telah turun ke lima Parlimen yang terlibat banjir besar iaitu Ampang, Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja dan Klang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.