Banjir: Keprihatinan Pemimpin UMNO Terbukti, Turun Padang Bantu Rakyat – Ismail Said

KUALA KRAU, 30 Dis – Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said meluahkan penghargaan di atas keprihatinan kepimpinan tertinggi UMNO yang komited dalam membantu rakyat yang berdepan dengan musibah banjir.

Beliau yang juga merangkap Ketua UMNO Bahagian berkata ini kerana dengan bantuan yang digerakkan Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO memberi kelegaan kepada mangsa banjir khususnya di kawasan beliau sendiri iaitu di Taman Seri Desa di Jenderak yang pada tahun ini sudah dua kali dilanda bencana alam.

“Terima kasih kepada UMNO terutama sekali Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana telah mengarahkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Skuad Sabil untuk terus bantu rakyat sama ada di Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Selangor serta di seluruh negara yang terlibat.

“Presiden amat prihatin terhadap apa yang berlaku pada rakyat, kita cukup bangga dengan parti kerana beliau serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob duduk semeja berbincang gerak kerja menggerakkan parti dan jentera kerajaan untuk mambantu rakyat.

“Banjir kali ini tidak seperti 2014 kerana ketika itu Taman Seri Desa ini langsung rumah tidak nampak bumbung… Pekan Kuala Krai tenggelam. Kali ini agak kurang cuma tahun ini sahaja dua kali kita menerima bencana banjir awal dan hujung tahun belum lagi siap baik pulih sekali lagi datang di Taman Seri Desa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada misi bantuan tersebut di dewan orang ramai di taman tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, usaha pembersihan juga telah dilaksanakan sejak enam hari lalu dengan tumpuan diberikan di rumah-rumah mangsa bagi meringankan beban mereka ketika berdepan dengan ujian ini.

“Penduduk di sini adalah dalam kalangan B40 dan kita sangat rasa simpati terhadap apa yang terjadi kepada mereka tapi lumrah alam kuasa Allah cuma kita harap penduduk sentiasa bersabar menerima musibah ini dengan penuh takwa.

“Kali ini juga lain sikit kita tumpukan di rumah-rumah individu sebabnya mereka hendak pindah, bersih rumah, memasak dan sebagainya dan sekarang dewan, surau, tempat memasak dan juga balai kawasan rukun tetangga (KRT) untuk kita buat skim rondaan sukarela pada sebelah malam,” ujar beliau.

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.