Turun Ke Lapangan Bantu Mangsa Banjir, UMNO Teruskan Khidmat Bakti – Mohd Faizal

LINGGI, 29 Dis – Sejak kawasan Port Dickson dilanda banjir pada 18 Dis lalu yang melibatkan hampir seribu buah rumah, UMNO Bahagian Port Dickson tidak duduk diam malah turun padang untuk sama-sama melaksanakan gerak kerja membantu mereka.

Ketuanya, Mohd Faizal Ramli memaklumkan bahawa usaha serta merta dilaksana bagi membantu mereka yang terjejas dan memastikan keperluan mangsa-mangsa banjir dipenuhi.

“UMNO Bahagian Port Dickson telah turun serta merta untuk membantu mereka yang terlibat dengan banjir dan berterima kasih di atas tindakan segera kedua-dua wakil rakyat dari UMNO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza dan ADUN Bagan Pinang, Datuk  Hairudin Abu Bakar yang juga telah turun ke lapangan dan segera memberikan bantuan.

“Terima kasih juga kepada Setiausaha Agung (SUA) Datuk Seri Ahmad Maslan yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta membawa nama UMNO Malaysia turun ke padang membantu mangsa banjir,” ujarnya.

Jelas beliau, ramai yang terkesan akibat banjir ini dan UMNO Bahagian Port Dickson telah membuat bancian serta data yang terperinci dengan maklumat diperoleh membabitkan hampir seribu buah rumah terlibat dan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi lebih 300 buah rumah yang terjejas.

“UMNO sentiasa turun padang dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan rakyat khususnya mereka yang dilanda musibah terjaga,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, Port Dickson pernah berlaku banjir sebegini dan dikatakan keadaan banjir sekarang hampir sama dengan kejadian pada tahun 1971.

“Sepertimana sedia maklum bahawa banjir kali ini lebih teruk daripada biasa dan ianya sama terjadi pada tahun 1971 lalu.

“UMNO Bahagian Port Dickson berterima kasih kepada kepimpinan UMNO yang turun padang bagi membantu mangsa banjir dan menyaksikan sendiri keadaan di sini walaupun ianya tidak seteruk macam Negeri Pahang, Selangor ataupun di tempat lain tetapi kesannya hampir sama dengan negeri-negeri yang terlibat banjir,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.