Pasca Banjir: Pemuda UMNO Syor Lebih Agresif Lupuskan Sampah, Elak Kemudaratan

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO memohon Kerajaan Negeri terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis-Majis Perbandaran dan Daerah agar dapat lebih agresif menyediakan back hoe dan lori ro ro untuk memastikan sampah-sampah daripada harta benda mangsa banjir yang musnah dapat segera dibersihkan dan dilupuskan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesyorkan kepada orang ramai yang mahu membantu termasuk NGO, sukarelawan dari kalangan parti-parti politik supaya dalam Fasa Pembersihan kini lebihkan menyumbang sebahagian daripada dana sumbangan dalam bentuk sewaan back hoe dan lori sampah kira-kira RM300-RM500 sehari.

“Sampah sarap yang bertimbun kini perlu segera dibersih dan dilupuskan bagi mengelakkan kemudaratan lain yang boleh terhasil seperti wabak penyakit daripada sampah sarap yang terlalu banyak terhimpun akibat banjir,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar beliau, semalam sahaja Pemuda UMNO Malaysia telah menyewa dua backhoe dan enam lori roro untuk membantu membersihkan sampah sarap sekitar Sri Muda Kota Raja.

“Sama-sama kita membantu. Insya-Allah mempermudahkan urusan orang, Allah mempermudahkan urusan kita,” katanya lagi yang terus komited bersama sukarelawan Pemuda UMNO dan Skuad Sabil meneruskan gerak kerja turun padang membantu pembersihan mangsa banjir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.