Pasca Banjir: BN Gerakkan Pasukan Perubatan, Terus Salurkan Sumbangan – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 29 Dis – Misi bantuan pasca banjir terus digerakkan oleh pelbagai pihak dan hari ini Barisan Nasional (BN) serta BN Comms turut menyelaraskan bantuan seumpama itu di beberapa negeri yang terlibat.

Lebih bermakna kali ini, pasukan perubatan turut digerakkan selain pelbagai bantuan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung.

Penyelaras Bantuan Bencana BN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pasukan perubatan serta bantuan lain hari ini akan bergerak ke Selangor, Negeri Sembilan serta Pahang dan akan turut menyantuni mangsa banjir di beberapa negeri yang lain.

“Hari ini kita akan teruskan bantuan bencana BN dan BN Comms ke Selangor dan juga Negeri Sembilan serta seterusnya ke Pahang yang melibatkan beberapa tempat yang ditimpa bencana ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan hari ini kita mendapat sumbangan daripada Prima yang memberikan sejumlah toto serta pelbagai keperluan lain kepada mangsa banjir.

“Kita juga mendapat sumbangan daripada LTAT melalui Pharmaniaga dan mulai hari ini kita akan gerakkan pasukan perubatan untuk ke kawasan-kawasan ‘hotspot’ yang dikenalpasti,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Kata beliau lagi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, bekalan ubat adalah salah satu keperluan dan mengambil kira apa yang berlaku, pasukan berkenaan diselaraskan untuk bergerak melalui kawasan parlimen dan bahagian yang akan ditentukan.

Terdahulu beliau bersama sukarelawan lain diberikan taklimat di WTC sebelum masing-masing bergerak ke lokasi yang ditetapkan.

Tambah Shamsul lagi pihaknya turut mendapat sumbangan daripada Yayasan Al-Bukhary serta mereka yang lain dan walaupun ianya bukanlah penyelesaian tuntas, namun sekurang-kurangnya sebagai tanda prihatin kepada mangsa yang terlibat.

“Kita faham walaupun sumbangan ini tidak besar dan tidak boleh menyelesaikan masalah tetapi apa yang penting sebagai tanda keprihatinan kita terhadap rakyat secara konsisten malah kita terus bersama kerajaan supaya isu-isu berkaitan banjir dapat diselesaikan.

“Apa pun gerak kerja kita yang besar adalah bersama kerajaan membantu secara tuntas isu dan juga permasalahan yang dihadapi rakyat. Bantuan ini jangka pendek dan jangka panjang tentunya kita harapkan ada program untuk rakyat yang ditimpa bencana dapat dilaksanakan.

“Kita harap kerajaan akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.