Banjir: Hentikan Sentimen Politik… Fokus Bantu Emosi, Kebajikan Rakyat – Fadwah

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Fadwah Anuwar berpandangan musibah banjir ini perlu dijadikan sempadan untuk segelintir pihak berhenti memainkan sentimen politik murahan.

Katanya ini kerana ketika ini rakyat berada dalam keadaan sulit malah emosi mereka juga terganggu dengan situasi bencana yang tidak dijangka ini.

“Satu sahaja kita jangan layan dan fokus kepada bantu rakyat tidak perlu untuk berlawan cakap melalui media sosial sebab tidak akan jadi apa. Sebab ketika ini orang memang tengah tuding jari cari kesalahan.

“Biarlah mereka ini hendak melalak tapi kita ini turun membantu di kawasan yang terjejas… sebab sekarang ini orang memerhati, mereka hendak tengok siapa yang datang ke pusat pemindahan sementara (PPS) siapa yang sanggup berselut, kemas rumah… itu yang orang hendak tengok sekarang ini.

“Dari sudut emosi rakyat sangat terjejas terutama sekali yang berada di Selangor kalau boleh hentikan bercakap politik sebab kita kena jaga perasaan mereka,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Sementara itu beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kuantan juga berharap untuk kerajaan memenuhi permintaan rakyat agar skim i-Citra dilanjutkan kerana secara tidak langsung wang itu akan dapat digunakan oleh mangsa banjir untuk kembali bangkit daripada kemusnahan.

“Sekarang ini perasaan rakyat sangat terganggu dengan meminta pengeluaran RM10,000 secara terus dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini dapat digunakan untuk baiki rumah yang rosak teruk.

“Saya memang tengah tunggu juga keputusan ini sebab rakyat amat memerlukan wang tunai sekarang selepas pasca banjir kerana air sudah mula surut,” ujar beliau.

Fadwah juga turut berharap kesemua jentera parti membantu mangsa banjir di seluruh negara dengan sebaiknya kerana ini adalah tradisi parti yang senantiasa membantu rakyat terutama ketika berdepan dengan situasi yang sukar ini.

“UMNO fokus bantu rakyat semua bahagian juga cawangan… kawasan yang tidak terlibat dengan banjir boleh turun membantu itu lebih yang rakyat nampak.

“Saya mengambil contoh, rakan-rakan dari Kelantan yang mahu turun ke Pahang untuk membantu perkara sebegini yang perlu ditekankan waima tempat mana yang berlaku pun UMNO tetap bersama dengan rakyat,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.