Pemuda UMNO Terus Komited Bantu Mangsa Banjir – Asyraf

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki meluahkan penghargaan beliau dengan komitmen yang diberikan Pemuda UMNO bahagian-bahagian dalam membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Katanya, mereka juga telah menggerakkan ahli-ahli Pemuda UMNO dan Sukarelawan Skuad Sabil di semua cawangan-cawangan dalam bahagian untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir, membekalkan keperluan asas seperti makanan, minuman dan bekalan air serta melakukan pembersihan di tempat-tempat yang terkesan.

“Alhamdulillah, saya rasa syukur dan cukup berbangga memiliki barisan jentera Pemuda UMNO yang cukup komited dalam membantu rakyat di kala musibah. Salah seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Selangor mengadu empat hari ini tidur hanya dua hingga tiga jam sahaja ketika saya telefon tanya khabar perkembangan banjir di kawasan masing-masing.

“Ramai juga bila dah masuk hari kelima ini yang mula rasa kepenatan dan ada yang dah nak demam setelah kerja kuat sejak bermula hari Sabtu yang lepas, secara konsisten membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan mereka.

“Bagi yang tidak terkesan pula terutamanya Pemuda UMNO dari negeri-negeri atau bahagian-bahagian lain turut datang membantu mangsa banjir dalam pelbagai bentuk. Syabas dan Terima kasih buat semua ahli Pemuda UMNO! Saya amat bangga dengan kalian! Moga Allah sahaja dapat merahmati dan membalas segala amal kebajikan yang dilakukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Asyraf juga turut mengalu-alukan sumbangan atau mana-mana pihak yang berminat sebagai sukarelawan bagi membantu membersih dan mencuci rumah yang terjejas.

“Insya-Allah Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO selaras dan digerakkan untuk turun seramai mungkin bagi membantu proses pembersihan di lokasi-lokasi banjir yang teruk terjejas.

“Bagi yang nak membantu amat dialu-alukan. Lebih ramai yang membantu termasuk  badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan lebih bermakna dan berkesan.

“Antara yang diperlukan adalah makanan siap masak, makanan segera, air minuman, pampers, susu kanak-kanak, lilin, barangan mandian dan pad wanita,” ujar beliau.

Boleh hubungi:

Saudara Kamil Pejabat Pemuda UMNO 019-3087680
Saudara Razi Penyelaras Skuad Sabil Kebangsaan 014-2234738. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.