Kedatangan SUA Beri Suntikan Semangat, Mangsa Banjir Hargai UMNO Bersama Rakyat

KUNDANG, 23 Dis – Sebalik musibah banjir yang melanda Selangor khususnya di Parlimen Selayang mangsa banjir kali ini berkesempatan menyuarakan keluh kesah mereka terus kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyantuni mereka.

Kunjungan Ahmad Maslan ke Kampung Melayu Sri Kundang semalam memberi suntikan semangat dan sokongan moral kepada mereka yang terkesan banjir lantas membuktikan UMNO sentiasa cakna rakyat dikala mengalami kesempitan hidup.

Bagi mangsa banjir di sini, Limat Daud, 63, melahirkan rasa terharu dengan apabila kepimpinan UMNO turun sendiri yang menyantuni serta memberikan sumbangan kepadanya malah sempat meluah rasa kecewa dengan pemerintahan kerajaan Selangor yang tidak prihatin kepada rakyat.

“Dulu semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN)/UMNO pengaliran sungai di kampung ini cukup baik dan bersistem namun apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah semuanya semakin teruk.

“Kami sudah beritahu kepada wakil rakyat (ADUN) dan juga Ahli Parlimen Selayang tapi beliau tidak turun melihat keadaan kami.

“Sekarang lihat rumah di kawasan ini sudah beberapa kali dimasuki air tapi mereka tidak datang membantu… sewajibnya wakil rakyat harus turun membantu,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Sementara itu di Taman Sri Indah, Bangi, mangsa banjir Ahmad Daud, 65, yang tinggal di kawasan ini lebih 30 tahun merasa sedih apabila banjir berlaku di kawasan perumahannya.

“Banjir ini berlaku selepas waktu subuh dan air telah naik mendadak di seluruh kawasan Taman Sri indah. Ramai penduduk di sini semuanya terlibat bencana ini dan banjir ini adalah pertama kali berlaku di kawasan tersebut,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.